Kuala Lumpur: Kerajaan akan merangka langkah tambahan dalam tempoh terdekat untuk menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan terutama golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan.

Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang dalam proses pembukaan semula pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kewangaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, dari aspek ekonomi kerajaan memperkenalkan empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion dan satu pakej bantuan bernilai RM15 bilion.

“Jumlah ini belum mengambil kira Belanjawan 2021 yang terbesar dalam sejarah Malaysia bernilai RM322.5 bilion.

“Semua ini bukti kesungguhan kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin dan memulihkan kembali kelembapan ekonomi negara yang dihadapi ekoran pandemik yang melanda dunia hari ini,” katanya dalam Laporan Laksana ke-43 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), semalam.

Menurutnya, dari aspek kesihatan, pelaksanaan PKP dan pematuhan SOP yang ketat membantu mengawal penularan pandemik ini.

“Namun, tunjang pemulihan kesihatan awam kita ialah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di mana kita menyasarkan vaksinasi 80 peratus penduduk Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok.

“Sehingga 3 Mac lalu, lebih 1.7 juta orang mendaftar untuk menerima vaksin di aplikasi MySejahtera.

“Jumlah ini masih jauh dari sasaran iaitu 27 juta penduduk. Oleh itu, jangan lupa untuk mendaftar diri anda bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.