PERTUBUHAN Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) menyifatkan pengecualian bayaran sewa atau pemberian diskaun sewaan untuk peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi premis dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah langkah yang sangat membantu.

Ini kerana ia dilihat sebagai amat diperlukan PKS kerana sebelum ini pengumuman berkaitan pengecualian bayaran sewa itu hanya membabitkan premis milik kerajaan.

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, kebanyakan pengusaha ‘tersepit’ dengan kos operasi khususnya bayaran sewa premis walaupun mereka tidak dapat meneruskan perniagaan seperti biasa.

“Sebagai contoh pengusaha di Suria KLCC yang masih dikenakan sewa puluhan ribu ringgit. Jumlah itu bukan sedikit namun mereka tetap perlu bayar.

“Maka, langkah yang diumumkan Perdana Menteri disifatkan dapat meringankan beban usahawan ini memandangkan banyak premis termasuk pusat beli-belah dimiliki GLC,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau Prihatin Tambahan bernilai RM10 bilion.

Menurutnya, pembabitan pihak swasta juga diharap diambil secara positif memandangkan mereka turut mendapat penangguhan bayaran dari pihak bank melalui moratorium yang diumumkan sebelum ini.

“Pemilik premis swasta juga seharusnya bertolak-ansur pada ketika ini. Jika mereka enggan beri pengecualian bayaran sewa, mungkin mereka boleh pertimbangkan untuk beri diskaun munasabah.

“Pemilik premis turut diberikan potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa bagi April ini hingga Jun depan.

“Mereka seharusnya mengambil peluang ini dan bertimbang rasa dengan penyewa khususnya yang terdiri daripada PKS,” katanya.