ORANG ramai kini boleh melabur serendah lima sen daripada baki akhir perbelanjaan melalui aplikasi Raiz yang kemudiannya akan dilaburkan ke dalam dana-dana unit amanah diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Raiz adalah aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah ASNB secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pada peringkat awal, platform ini tersedia secara eksklusif untuk pemegang akaun Maybank.

Katanya, PNB juga menyasarkan kira-kira 60,000 pelanggan akan berdaftar dengan Raiz menjelang akhir tahun ini berbanding sebanyak 15,000 pelanggan sekarang.

“Dengan penawaran nilai digital, kami melihat potensi untuk Raiz menjadi pembuka laluan kepada mereka yang ingin mula melabur.

“Idea ini bersesuaian dengan usaha berterusan PNB dalam memperkasakan dan menggalakkan warga Malaysia untuk mengamalkan perancangan kewangan lebih berhemah,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi Raiz secara maya di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Raiz Invest Australia, George Simon Lucas serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Katanya, pemegang unit boleh memulakan pelaburan dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kad debit Maybank mereka.

Mereka kemudiannya boleh memberi kebenaran kepada Raiz untuk membundarkan setiap baki pembelian harian menggunakan kad dan kemudiannya membuat pelaburan dengan duit baki berkenaan.

Pelabur juga hanya dikenakan caj RM1.50 sebulan untuk akaun dengan baki di bawah RM6,000 dan 0.3 peratus setahun (dicajkan secara bulanan, dikira setiap hari), untuk akaun dengan baki RM6,000 ke atas.