KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP), memperkenalkan Khidmat Rundingan Majikan (EAS) bermula 15 April 2020 untuk memberi khidmat rundingan kepada majikan, terutama berkenaan caruman syer majikan dalam keadaan ekonomi semasa.

KWSP dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan membantu majikan kekal beroperasi untuk meneruskan kesinambungan pekerjaan dan memelihara kelangsungan hidup pekerja mereka.

Inisiatif EAS ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 480,000 PKS serta memastikan kesinambungan pekerjaan bagi 7.6 juta pekerja.

“Di samping itu, ia dapat membantu majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menstabilkan aliran wang tunai mereka walaupun berhadapan dengan kesan pandemik Covid-19.

“Lebih penting lagi, EAS bertujuan membantu mereka memenuhi kewajipan dalam membuat bayaran caruman syer majikan KWSP,” katanya.

Menurutnya, melalui EAS, KWSP akan membuat penilaian semula ke atas syarat tertentu untuk syarikat yang terjejas dan menawarkan pelan bersesuaian bagi memenuhi keperluan Caruman Berkanun Syer Majikan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991.

KWSP berkata, langkah ini boleh merangkumi penstrukturan semula jadual caruman atau merangka semula jadual pembayaran caruman yang tertunggak.

Perkhidmatan ini akan diperluaskan untuk merangkumi khidmat rundingan berkaitan perniagaan dan majikan yang lebih komprehensif pada masa akan datang.