SEBANYAK 376 dana dari 20 Institusi Pengurusan Dana (IPD) diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) dan hanya 280 dana layak ditawarkan kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2020/2021.

   Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata, daripada jumlah itu, 202 dana (72 peratus) adalah dana tempatan di mana 101 dana (50 peratus) adalah dana ekuiti.

   Katanya, setiap tahun, KWSP akan menilai dana unit amanah ini berdasarkan kriteria yang sudah ditetapkan, yang juga diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

   “Langkah ini bertujuan memastikan hanya dana yang mempunyai prestasi yang baik akan ditawarkan kepada ahli.

   “Berikutan ketidakpastian pasaran untuk tahun ini, KWSP memutuskan untuk mengekalkan Purata Mudah Untuk Pulangan Konsisten (SACR) pada 2.33.

  “Skor ini akan dikaji semula dan dikemaskini kepada skor yang lebih tinggi pada masa hadapan sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

   SPA KWSP diperkenalkan sebagai pilihan untuk ahli melaburkan sehingga maksimum 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka tertakluk kepada kelayakan berdasarkan Kuantum Baharu Simpanan Asas ahli.

   Rohaya berkata, ahli juga kini boleh melabur di platform i-Invest melalui i-Akaun.

  “ Sejak i-Invest dilancarkan pada September 2019, lebih 15,000 transaksi bernilai RM127 juta telah direkodkan setakat 28 Februari 2020.

  “Kemudahan i-Invest memperkasakan ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang bijak dengan kos rendah.

  “Antara ciri i-Invest termasuk paparan keseluruhan pelaburan ahli, kelayakan jumlah pelaburan dan perbandingan antara dana.

  “Ahli yang berusia 55 tahun ke atas juga boleh melabur melalui platform ini,” katanya.

   Menurutnya, dalam keadaan pasaran semasa yang tidak menentu, ahli harus berpegang kepada strategi pelaburan jangka panjang dan pada masa sama mencari peluang pelaburan menguntungkan.

   Ciri-ciri yang ditawarkan oleh i-Invest boleh membantu ahli untuk memantau pelaburan mereka ataupun membuat pelaburan ketika pasaran semasa sedang menurun.