Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), melancarkan dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung/pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan sebanyak AS$600 juta (RM2.43 bilion).

Menerusi peruntukan itu, KWSP menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta (RM1.22 bilion) setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian iaitu BlackRock, HarbourVest Partners LLC dan Partners Group AG.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, pihaknya gembira menjadi pelabur institusi pertama yang mewujudkan dana pelaburan langsung/pelaburan bersama ekuiti persendirian patuh syariah dan ia adalah yang terbesar di dunia, dengan mandat pelaburan global.

“Usaha ini bermula pada 2018 untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan demi memastikan bahawa kami dapat memberikan pulangan pelaburan yang mampan kepada ahli.”

“KWSP yakin dengan ketiga-tiga Pengurus Dana terbabit untuk melaksanakan aktiviti pelaburan langsung dan pelaburan bersama, kerana mereka berpengalaman luas dalam mengendalikan pelaburan ekuiti persendirian dan telah mempunyai pendedahan dalam menguruskan mandat patuh Syariah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bahagian pelaburan ekuiti persendirian KWSP mempunyai pendedahan terhadap pelaburan di peringkat global, dengan strategi yang meliputi pertumbuhan, pembelian, permodalan pasaran sederhana dan permodalan pasaran besar, ke dalam 106 pelaburan aktif dengan komitmen keseluruhan sebanyak AS$12.05 bilion (RM 48.81 bilion).

Tempoh pelaburan bagi dana SMA adalah dari 2021 hingga 2025, sementara tempoh hayat dana akan berlangsung dari 2021 hingga 2031, tertakluk kepada tempoh lanjutan seterusnya dengan persetujuan KWSP.

Setakat suku kedua 2020, Amerika Utara (42 peratus), Eropah (21 peratus) dan China (12 peratus) adalah tiga pecahan geografi terbesar di mana KWSP melabur di bawah mandat ekuiti persendirian.

Dana SMA ini melantik Amanie Advisors Ltd, Dubai dan ZICO Shariah Advisory Services Sdn Bhd sebagai penasihat Syariah untuk memastikan agar semua pelaburan yang dilakukan adalah patuh Syariah.

Dana SMA ini juga dibentuk berdasarkan struktur Wakalah, atau gabungan struktur Wakalah dan Murabahah mengikut garis panduan pelaburan Syariah.