KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan Pengeluaran Umur 50, 55, 60 tahun dan pengaktifan i-Akaun bermula 6 Mei ini.

  Perkhidmatan itu membabitkan cawangan yang terletak di negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

   Cawangan yang terletak di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak.

   Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alizakri Alias berkata, KWSP faham bahawa pelaksanaan PKP sejak 18 Mac 2020 adalah satu langkah yang perlu.

    “Kami juga bimbang apabila PKP dilanjutkan kerana ia akan menyebabkan perkhidmatan yang memerlukan transaksi bersemuka seperti pengeluaran dan pengaktifan i-Akaun di cawangan akan terganggu.

   “Berikutan pengumuman PKPB baru-baru ini, kami ingin mengumumkan penyambungan semula beberapa perkhidmatan di cawangan yang diluluskan di seluruh negara.

  “Bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli dan anggota, kami akan mengenakan beberapa syarat yang ketat di cawangan untuk mengurangkan risiko pendedahan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

   Menurutnya, cawangan hanya menyediakan transaksi mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal, iaitu pengeluaran umur 50, 55 atau 60 tahun dan pengaktifan i-Akaun B.

  Selain itu, majikan tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing

   “Kami sedar bahawa ramai ahli telah menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap perkhidmatan KWSP sepanjang sebulan lebih lalu.

  “Saya berharap mereka memahami bahawa Covid-19 ini telah melenyapkan cara dan kaedah lama bekerja dan memaksa kita untuk menerima realiti baharu iaitu ‘mengurangkan sentuhan, melebihkan jarak’ yang mesti dibiasakan.

  “Saya memohon kesabaran ahli agar KWSP boleh beralih kepada normal baharu ini secepat mungkin,” katanya.

   Beliau berkata, dalam tempoh terdekat ini, pihaknya akan menyediakan keseluruhan produk dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui semua saluran fizikal (cawangan, jangkauan dan kios) serta saluran elektronik (pusat perhubungan, laman sesawang dan mudah alih).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan