Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengadakan sesi perbincangan dan libat urus dengan ahli bagi mendapatkan pandangan mengenai dasar dividen berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, ia memerlukan pembabitan bersama pencarum memandangkan dividen berperingkat memiliki struktur yang kompleks dan sangat rumit untuk dilaksanakan.

“Dividen berperingkat sangat kompleks dan memiliki kekurangan serta kelebihan. Ia sebenarnya akan menunjukkan ada banyak cara yang berbeza kepada KWSP untuk menyalurkan kepada ahli.

“Justeru, sekali lagi saya berpendapat dividen berperingkat memiliki isu yang sangat kompleks dan ini memerlukan KWSP mendapat maklum balas daripada pencarum berhubung cara dividen diagihkan sama ada secara tunggal seperti mana sekarang atau berperingkat,” katanya pada sidang media selepas pengumuman prestasi dan dividen KWSP 2020 secara maya, hari ini.

KWSP mengumumkan dividen tahun 2020 sebanyak 5.2 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus untuk Simpanan Shariah.

Kadar dividen yang diumumkan dana persaraan nasional itu akan membabitkan agihan keseluruhan RM47.64 bilion merangkumi Simpanan Konvensional berjumlah RM42.88 bilion dan Simpanan Shariah dengan RM4.76 bilion.

Alizakri berkata, berdasarkan falsafah, KWSP akan memastikan semua pencarum mendapat kadar dividen yang sama pada masa depan.

“Dividen berperingkat dijangka membangkitkan isu dalam pengagihan dividen kepada ahli dengan cara berbeza pada masa depan.

Isu ini sangat kompleks, ini memerlukan KWSP berinteraksi dengan pencarum sebab pendapat mereka diperlukan untuk memastikan bagaimana cara dividen mereka akan terima pada masa depan.

“Bagaimanapun, saya ingin menegaskan, walaupun struktur dividen akan diagihkan kepada pencarum sama ada tunggal atau berperingkat, pendapat pencarum amat diperlukan untuk membolehkan penilaian dari segi pelaburan dan memastikan pulangan yang sebaiknya,” katanya.

Pengumuman hari ini adalah yang terakhir bagi Alizakri memandangkan beliau akan digantikan oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang telah dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif berkuat kuasa Isnin ini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.