Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memulakan skim pengeluaran baharu untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau takaful, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, skim berkenaan dijadualkan dilancarkan pada akhir tahun ini.

“KWSP sudah menjangkau usia 70 tahun dan adalah antara institusi dana persaraan tertua di dunia.

“Kami akan tetap memberi tumpuan kepada mandat kami iaitu membantu ahli mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang mampan.

“Kami juga akan memulakan skim pengeluaran baharu untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau takaful yang dijadualkan dilancarkan pada akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Akaun 2 KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat.

Ia untuk perlindungan diri sendiri dan keluarga bagi penyakit kritikal.

Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat berikutan kadar penembusan insurans dan takaful yang rendah di negara ini selain menjadi antara faktor yang menggugat keselamatan kewangan individu dan isi rumah.