BELIA di Malaysia perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk kekal berdaya saing seiring pemulihan ekonomi global ketika pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, adalah penting untuk belia mendapat kumpulan kemahiran yang tepat memandangkan negara semakin memberi fokus kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan mewah.

“Bakat adalah kunci untuk kita menjadi negara berdaya saing memandangkan kita juga mahu meraih ekonomi berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan,” katanya selaku ahli panel pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2021 secara maya, semalam.

Beliau berkata, ketika Malaysia memulakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025) masih banyak yang perlu dilakukan dalam penggunaan teknologi.

Mustapa memetik Korea Selatan sebagai contoh di mana kemajuan teknologi menjadi signifikan meskipun kedua-dua negara berada pada paras pertumbuhan yang serupa 40 tahun lalu.

“Kita perlu melakukan pengubah terutama dalam kualiti pendidikan dan pelaburan kerana wujud keperluan untuk mengubah pendidikan dan dasar vokasional kita untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti dan tangkas.

“Keperluan ini perlu dilaksanakan secara berkesan di lapangan. Kita perlu bersikap tegas dan melakukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 mendedahkan beberapa isu struktur kerajaan dan turut menekankan keperluan bagi memperkukuhkan perusahaan mikro untuk memanfaatkan pendigitalan – isu yang perlu ditangani dengan agresif.

Mustapa berkata, kerajaan juga perlu memperoleh kemahiran baharu untuk menangani situasi ini dengan lebih baik dalam norma baharu.

Ini termasuk melaksanakan perubahan dalam pasaran buruh, menyediakan perlindungan sosial yang mencukupi dan menambah baik undang-undang sedia ada serta melaksanakan program vaksin Covid-19 dengan lebih berkesan.