PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ketika ini dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dilihat sebagai peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, aktiviti urusniaga dalam bentuk digital ini dijangka menjadi kebiasaan baharu kepada penduduk Malaysia dan terus berkembang selepas pelaksanaan PKP.

“Bagi usahawan mikro, PKP menyerlahkan kepentingan perniagaan atas talian yang mampu membantu meningkatkan hasil jualan mereka.

“Sebagai contoh, peniaga kecil yang berniaga makanan mampu meneruskan jualan ketika PKP dengan mengambil pesanan melalui aplikasi media sosial. Malah dengan cara ini, jualan mereka mampu bertambah berlipat ganda,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun tidak semua perniagaan boleh meneruskan operasi dengan cara ini terutama yang membabitkan sentuhan dengan pengguna seperti perkhidmatan gunting rambut dan urutan badan kerana risiko penularan virus.

“Namun, perniagaan ini perlu lebih kreatif dengan menjual barang-barang berkaitan perkhidmatan mereka seperti minyak rambut, syampu atau ubat rambut.

“Secara umumnya, pengusaha PKS dalam apa juga produk pengeluaran boleh melaksanakan penjualan atas talian jika mereka kreatif dalam pemasaran dan bijak mengambil peluang dalam situasi pelaksanaan PKP ini,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Menurutnya, kebanyakan PKS selama ini bergantung kepada pekerja sebagai faktor pengeluaran utama termasuklah pekerja asing.

“Penggunaan pekerja yang ramai memberi pelbagai risiko dan menyebabkan kos tinggi kepada pengeluar jika berlaku sesuatu krisis seperti Covid-19 ini.

“Oleh itu pengeluar yang terdiri daripada PKS bersaiz secara relatif lebih besar perlu segera menggunakan automasi dalam pengeluaran dengan penggunaan mesin atau jentera berteknologi tinggi.

“Penggunaan automasi dengan teknologi terkini mampu menambahkan pengeluaran secara konsisten untuk tempoh yang lama.

“Ia boleh mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan upah pekerja tempatan mampu ditingkatkan melalui pelarasan pasaran buruh, sesuai dengan taraf negara berpendapatan tinggi yang diimpikan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan