Negara perlu membangunkan satu pendekatan kemajuan ekonomi yang tidak berpaksikan kepada amalan berhutang, sama ada oleh kerajaan, rakyat atau sektor korporat. – Gambar hiasan

SETELAH dua bulan berada di bawah situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah pandemik COVID-19 masih berterusan di negara kita. Sebenarnya ramai pakar epidemiologi menyatakan bahawa selagi vaksin tidak dijumpai atau imuniti berkelompok (herd immunity) tidak dicapai, virus COVID akan terus merebak tanpa henti. Kerajaan hanya mampu berusaha untuk 'mendatarkan kelok’ (flatten the curve) iaitu berusaha untuk memastikan infeksi yang berlaku tidak menjadi terlampau tinggi dan tidak terkawal dalam sesuatu tempoh masa yang singkat sebaliknya memanjangkan tempoh masa keadaan terinfeksi terkawal agar sistem pengurusan kesihatan negara berupaya untuk menguruskan keadaan tersebut secara optima. Dengan cara ini, jumlah kematian pesakit yang bergejala mungkin boleh dikurangkan walaupun tidak mungkin dapat disekat sama sekali.

Namun, satu masalah yang akan sukar ditangani oleh hampir kesemua kerajaan di dunia adalah masalah beban hutang yang ditanggung oleh negara mereka akibat daripada pandemik ini. Ini kerana dalam usaha untuk memastikan kesan buruk ekonomi dapat diminimakan, langkah yang diambil oleh hampir kesemua kerajaan ialah dengan berbelanja lebih banyak lagi. Strategi utama yang digunakan ialah melalui pakej rangsangan ekonomi di mana kerajaan akan memberikan pelbagai bantuan kewangan kepada pelbagai kategori rakyat dan organisasi perniagaan.

Oleh kerana hampir kesemua kerajaan sebelum ini berada dalam keadaan keberhutangan yang tinggi, maka hakikatnya kebanyakan kerajaan tidak akan mampu melakukan pakej rangsangan kecuali dengan cara menambahkan lagi hutang kepada jumlah hutang sedia ada yang masih belum berbayar dan oleh yang demikian akan memburukkan lagi keadaan keberhutangan mereka. 

Berdasarkan laporan oleh majalah Forbes, dalam usaha untuk menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat yang terjejas teruk akibat penutupan operasi-operasi syarikat serta peningkatan jumlah pengangguran sebanyak lebih daripada 35 juta orang, kerajaan Amerika di bawah pentadbiran Trump dan Bank Pusat Amerika (The Federal Reserve) telah berbelanja lebih daripada USD6 trilion.

Akibat daripada langkah tersebut, defisit belanjawan negara yang sepatutnya berjumlah USD1.1 trilion untuk tahun fiskal ini telah melonjak menjadi USD3.7 trilion. Jumlah ini sebenarnya melebihi keseluruhan belanjawan kerajaan Amerika semasa pentadbiran Bill Clinton. Bahkan ia adalah defisit yang terbesar dalam sejarah negara tersebut dan melebihi jumlah keseluruhan defisit belanjawan negara Amerika untuk tempoh 102 tahun iaitu di antara tahun 1901 sehingga 2003.

Jadi, dari manakah dana untuk meningkatkan perbelanjaan ini akan diperolehi? Sebenarnya ia adalah daripada duit hutang di mana kerajaan Amerika akan mengeluarkan sijil hutang kerajaan (dipanggil U.S. treasuries) untuk memperolehi dana yang diperlukan. Akibatnya jumlah keseluruhan hutang kerajaan Amerika akan meningkat menjadi USD26.9 trilion pada bulan September 2020. Bahkan kemungkinan besar ia akan meningkat lagi jika ekonomi Amerika masih tenat dan memerlukan suntikan tambahan dana kerajaan.

Dalam masa yang sama kadar hutang kerajaan Amerika berbanding Keluaran Negara Kasar (KNK) atau Debt-to-GDP ratio dijangka akan meningkat menjadi 135%, iaitu jauh melebihi paras 85% yang dikatakan oleh ramai pakar ekonomi sebagai paras bahaya yang boleh mengakibatkan krisis ekonomi.

Punca utama kepada keadaan ini adalah kerana hutang kerajaan yang banyak akan mengakibatkan peningkatan beban pembayaran bunga (interest). Sehubungan itu, kerajaan akan terpaksa meningkatkan kadar cukai serta mengurangkan perbelanjaan. Oleh kerana perbelanjaan kerajaan adalah penggerak utama ekonomi, sebarang pengurangan akan mengakibatkan proses penguncupan ekonomi menjadi lebih cepat.

Keadaan yang sama juga sedang dihadapi oleh Britain. Berdasarkan satu laporan oleh BBC, kadar hutang kerajaan berbanding KNK dianggarkan akan meningkat menjadi 100%, iaitu yang paling tinggi semenjak selepas Perang Dunia Kedua. Defisit belanjawan kerajaan dianggarkan menjadi £260 bilion iaitu jauh melebihi jumlah £48.7 bilion yang dirancangkan bagi tahun 2019-2020.

Seperti kerajaan Amerika, kerajaan Britain juga akan memperolehi dana perbelanjaan melalui pinjaman dengan cara mengeluarkan bon kerajaan sebanyak £180 bilion dalam tempoh Mei sehingga Julai. Kemungkinan besar jumlah ini akan meningkat lagi jika masalah COVID berterusan. Satu laporan menyatakan bahawa kerajaan Britain mungkin akan meminjam sebanyak £500 bilion, iaitu 25% daripada saiz ekonomi negara tersebut. Dalam keadaan keberhutangan yang begitu tinggi, kemungkinan ekonomi Britain menghadapi krisis juga adalah sangat tinggi.

Di Malaysia, jumlah hutang kerajaan juga dijangka akan naik daripada paras sedia ada. Cuma terdapat perbezaan interpretasi tentang paras hutang sedia ada berikutan kemenangan kerajaan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum 2018. Sebelum itu, kerajaan Barisan Nasional telah menyatakan bahawa jumlah hutang kerajaan berbanding KNK ialah 50.8% iaitu di bawah had maksima 55%. 

Namun, kerajaan Pakatan telah menyatakan bahawa jumlah tersebut adalah tidak tepat kerana tidak mengambil kira jaminan kerajaan kepada hutang beberapa organisasi milik kerajaan yang dipanggil hutang di luar belanjawan (atau off budget). Hutang-hutang tersebut termasuk hutang syarikat 1MDB, PTPTN serta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Jika hutang-hutang ini diambil kira, jumlah hutang kerajaan Malaysia sebenarnya adalah 80.3% berbanding KNK.

Namun apa yang pasti kini, jumlah hutang kerajaan Malaysia akan bertambah susulan daripada langkah pakej rangsangan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang telah membentuk kerajaan pada Februari 2020. Bantuan dana langsung sahaja adalah berjumlah RM35 bilion dan berkemungkinan besar akan ditambah lagi jika keadaan ekonomi negara masih tenat. Oleh yang demikian, defisit belanjawan pada tahun 2020 diramalkan akan melebihi 4.7%. 

Pada masa ini bayaran bunga atau interest tahunan ke atas hutang kerajaan Malaysia adalah sebanyak RM28 bilion setahun (tidak mengambil kira hutang off-budget). Jika diambil kira hutang-hutang yang dijamin kerajaan serta tambahan hutang daripada pakej rangsangan ekonomi terkini, besar kemungkinan bayaran interest adalah hampir RM40 bilion setahun iaitu hampir sama dengan jumlah kutipan GST pada tahun 2017 (iaitu sebanyak RM44.03 bilion).

Namun, oleh kerana GST telah dihapuskan oleh kerajaan PH pada tahun 2018 dan menggunapakai sistem cukai SST yang tidak menyeluruh maka pendapatan negara daripada sumber cukai yang dapat digunakan untuk membayar bunga telah terjejas. Tambahan pula pandemik COVID-19 yang menyebabkan ekonomi negara menjadi perlahan akan mengakibatkan kutipan cukai kerajaan jatuh mendadak lagi. Dalam erti kata yang lain, kerajaan Malaysia juga akan menghadapi cabaran yang sangat getir untuk menangani masalah hutangnya di masa-masa akan datang.

Walaupun pandemik COVID-19 lambat laun akan berakhir, sama ada dalam masa satu atau dua tahun lagi iaitu apabila vaksin dijumpai atau imuniti kelompok dicapai oleh rakyat Malaysia dan rakyat akan bebas bergerak setelah PKP ditamatkan, namun ini tidak bermakna yang rakyat Malaysia akan dapat bergembira dan keadaan kehidupan akan pulih seperti sedia kala. Ini kerana besar kemungkinan kerajaan akan berhadapan dengan masalah beban hutang yang sangat serius. Ini juga bermakna bahawa rakyat Malaysia juga akan terkesan kerana akan terpaksa berkorban untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara.

Senario yang dijelaskan tersebut sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua bahawa negara kita perlu membangunkan satu pendekatan kemajuan ekonomi yang tidak berpaksikan kepada amalan berhutang, sama ada oleh kerajaan, rakyat atau pun sektor korporat. Agama Islam sebenarnya telah memberikan panduan dari aspek ini dengan cara menjadikan amalan Riba serta mencari keuntungan daripada aktiviti  memberi hutang sebagai sesuatu yang amat terkutuk dan perlu dijauhi. Malangnya ramai umat Islam sendiri tidak mempedulikan ajaran Islam dalam hal ini. Bahkan yang lebih malang lagi apabila terdapat di kalangan agamawan sendiri yang cuba mencari helah agar industri hutang dapat dikekalkan dan dibangunkan lagi dengan cara memperkenalkan produk hutang yang dihalalkan. Walaupun tidak dinafikan bahawa industri hutang sememangnya mampu mendatangkan keuntungan yang sangat lumayan kepada pihak-pihak yang terlibat sama ada di pihak pemiutang atau pemberi hutang, namun hakikatnya kesan buruk yang timbul daripada industri ini ialah kesengsaraan kepada kehidupan kebanyakan rakyat dan keadaan ini akan melibatkan bukan satu, bahkan beberapa generasi yang akan datang. 

Maka, ambillah serius peringatan Allah ini melalui firmanNya:
1. “Allah menghilangkan berkah harta riba dan menyuburkan harta sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan bergelumang dengan dosa.”                (Al-Baqarah: 276)

2. “Oleh itu, kalau kita tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, Dan jika kamu bertaubat maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”         (Al-Baqarah:279)


* Prof Mohd Nazari Ismail bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.