LEBIH banyak syarikat korporat tempatan mula melaksanakan langkah berjimat cermat untuk mengekalkan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), ketika ini.

Selain pandemik Covid-19, syarikat itu dilihat berhati-hati terhadap faktor cabaran lain termasuk unjuran kemelesetan global yang dijangka berlaku tahun ini.

Dalam satu dokumen yang diperoleh, Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCMH) dan Berjaya Corp Bhd memutuskan pelaksanaan langkah berjimat cermat itu untuk melindungi kesejahteraan syarikat pada masa depan.

Pengarah bebas TCMH menawarkan bayaran kepada mereka dikurangkan serta-merta ketika syarikat mencatatkan perolehan semasa yang sifar, manakala barisan pengurusan kanan menerima pemotongan gaji 20 dan 30 peratus.

Pekerja bukan pengurusan kanan dikenakan pengurangan gaji antara tiga hingga 15 peratus mengikut jumlah gaji pokok bulanan serta elaun tetap berdasarkan gred mereka.

Menurut dokumen itu, Presiden Kumpulan Tan Chong Datuk Tan Heng Chew berkata, kumpulan itu menyemak semula langkah itu secara berkala sehingga keadaan normal.

Di samping itu, langkah tambahan mungkin diumumkan sekiranya situasi itu berpanjangan atau bertambah buruk untuk mengekalkan perniagaan.

Katanya, banyak perniagaan kumpulan itu di Malaysia terjejas berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Kumpulan itu membayangkan operasi syarikatnya di Indo-China menerima impak berikutan pelbagai langkah sekatan pergerakan pihak berkuasa manakala kesan kepada aktiviti sosioekonomi berterusan pada masa akan datang.

Tan menjelaskan, walaupun kerajaan menyalurkan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan beberapa industri lain, kumpulan itu belum dapat memanfaatkan sebarang bantuan atau langkah sokongan terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan