Kuala Lumpur: Syarikat pemula niaga perkongsian kereta, Socar Mobility Malaysia (Socar) menawarkan insentif RM200 kepada 10,000 pemilik kereta untuk menawarkan kenderaan mereka kepada anak syarikatnya Trevo menerusi platform aplikasi pasaran sehenti perkongsian kereta.

Ketua Pegawai Eksekutif Socar, Leon Foong berkata, pihaknya melabur RM2 juta untuk tujuan itu bagi menarik hos (pemilik kereta) baharu dalam kalangan pemilik kereta.

Beliau berkata, antara syarat pendaftaran kereta mestilah berusia tidak melebihi 12 tahun pada 31 Disember tahun ini.

“Insentif bantuan kewangan RM200 ini akan disalurkan kepada 10,000 hos baharu terawal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah yang mendaftar dengan Trevo. Selain itu, hos juga mesti membenarkan kereta mereka ditempah selama sekurang-kurangnya 14 hari setiap bulan untuk memenuhi syarat kelayakan.

“Trevo kini memulakan Fasa 1 Kajian Pembuktian Konsep (POC) pasaran perkongsian kereta individu-ke-individu (P2P) berasaskan aplikasi dan pelaburan RM2 juta kami sediakan sebagai bantuan insentif kewangan kepada hos baharu.

“Selain insentif RM200, kami mahu rakyat Malaysia memanfaatkan peluang untuk menjadikan aset (kereta) mereka sebagai mekanisme penjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Trevo Lighthouse Activation Centre di sini, semalam.

Ia disempurnakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong .

Hadir sama, Pengarah Urusan Trevo, Susan Teoh.

Foong berkata, mereka bekerja dari rumah boleh menyenaraikan kereta tidak digunakan untuk menjana pendapatan tambahan.

Menurutnya, Trevo menawarkan platform yang menghubungkan pengguna (tetamu) dengan hos yang membolehkan tetamu menempah mana-mana kereta yang memenuhi keperluan mobiliti mereka.

Beliau berkata, ia juga membolehkan hos mendapat pendapatan tambahan bagi mengurangkan kos pemilikan kereta.

“Pemilik kereta boleh memperoleh pendapatan yang dapat menampung sehingga 85 peratus pinjaman kereta mereka dengan hanya berkongsi kereta mereka di Trevo untuk minimum 10 hari sebulan. Mereka boleh menetapkan harga sendiri asalkan ia berada di dalam julat harga yang disediakan oleh Trevo,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta mengambil bahagian dalam kajian POC.

Beliau berkata, ia selaras wawasan Dasar Pengangkutan Negara 2019 hingga 2030 untuk meningkatkan pembabitan orang ramai dan pihak berkepentingan dalam pembangunan inisiatif pengangkutan.