Menurut Abang Jo, dengan penyelesaian ini suasana perniagaaan dan pelaburan lebih stabil dapat diwujudkan bagi memacu industri berkenaan di Sarawak. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Konflik di antara kerajaan negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menemui titik noktah selepas syarikat minyak nasional itu bersetuju membayar RM2 bilion kepada kerajaan negeri Sarawak.

Ia sebagai bayaran tuntutan ke atas produk petroleum bagi tahun 2019 iaitu pada kadar lima peratus daripada nilai jualan produk tersebut.

Susulan itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi kenyataan dikeluarkan pada Jumaat berkata, dengan penyelesaian ini suasana perniagaaan dan pelaburan lebih stabil dapat diwujudkan bagi memacu industri berkenaan di Sarawak.

“Kerajaan negeri Sarawak merupakan sebuah kerajaan yang praktikal dan ingin meyakinkan pemain industri minyak dan gas bahawa ia sentiasa bersifat mesra perniagaan,” ujarnya.

Kerajaan negeri juga komited bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Petronas dalam rundingan seterusnya bagi memastikan semua pihak dapat mencapai penyelesaian dan persetujuan dalam isu lain.

BACA: Sarawak dan Petronas sepakat selesaikan isu petroleum

Terdahulu menerusi kenyataan bersama di antara kerajaan negeri dan Petronas, beberapa perkara lain turut dinyatakan.

Antaranya kedua pihak bersetuju bahawa cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Cukai Jualan Negeri dikenakan pada kadar lebih rendah secara bertempoh berdasarkan rundingan yang akan diadakan kelak.

Kerajaan negeri juga bersetuju SST itu terhad ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Order 2018.

Antara lain, Petronas juga menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan semakan kehakiman 13 Mac lalu.

Manakala kerajaan Sarawak juga mengugurkan kesemua tuntutan dalam kes sivil terhadap Petronas untuk bayaran SST ke atas produk petroleum.