PEMILIK estet dan kilang kelapa sawit yang terbukti belum memulakan proses mandatori pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) boleh dikompaun dan disusuli tindakan lesen digantung atau dibatalkan bermula 1 Januari 2021.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, peraturan 15(1) (a) Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 juga membolehkan pihaknya mengambil tindakan perundangan terhadap pihak industri termasuk pekebun kecil yang gagal berbuat demikian.

“Surat amaran misalnya akan dikeluarkan mulai 1 Januari 2021 dan diikuti tindakan kompaun mulai 1 Julai 2021.

“Mulai 1 Januari 2021, pekebun kecil yang belum memulakan proses pensijilan MSPO akan mula diambil tindakan penggantungan lesen atau ia ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 1 Januari lalu kerajaan menetapkan tarikh pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO dan semua pihak dalam industri sawit termasuk pekebun kecil disyaratkan melaksanakan pensijilan itu di premis masing-masing.

Ahmad Parveez berkata, pada 1 Julai tahun lalu MPOB mengeluarkan notis pemberitahuan pelesenan pensijilan MSPO secara mandatori kepada pemegang lesen kategori kilang kelapa sawit, estet manakala bagi pekebun kecil, notis makluman penguatkuasaan pensijilan MSPO dikeluarkan pada 27 Disember tahun lalu.

Menurutnya setakat 30 Jun lalu, pencapaian pelaksanaan pensijilan MSPO bagi kategori estet sebanyak 3,040 estet atau 96.04 peratus merangkumi kawasan seluas 4.06 juta hektar.

Jumlah itu meningkat berbanding 1,753 estet merangkumi keluasan 2.97 juta hektar pada 31 Disember tahun lalu.

Bagi kilang sawit, sebanyak 400 atau 88.50 peratus memiliki sijil MSPO setakat 30 Jun lalu berbanding 340 kilang pada 31 Disember tahun lalu.

“Peningkatan itu susulan daripada surat amaran yang dikeluarkan kepada 100 kilang pada 28 Januari lalu. Surat amaran juga dikeluarkan kepada pemilik estet yang masih memulakan pensijilan MSPO pada 12 Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, hingga 31 Mei lalu, pencapaian pensijilan MSPO bagi kategori pekebun kecil persendirian seramai 62,009 orang meliputi keluasan 243,666 hektar (24.82 peratus) manakala pekebun kecil tersusun seramai 231,576 orang dengan keluasan 670,010 hektar (99.07 peratus).