LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berpotensi mengkomersialkan sembilan paten yang difailkannya kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB hanya memfailkan teknologi dan inovasi yang mempunyai potensi tinggi untuk dikomersialkan.

“MPOB melonjak empat anak tangga untuk berada dalam kedudukan 20 teratas sebagai pemohon paten terbaik Malaysia yang disenaraikan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk tahun lalu.

“Kami menduduki tempat ke-17 dalam senarai dengan sembilan paten pada 2020, berbanding hanya tujuh paten pada 2019,” katanya dalam kenyataan.

Sembilan paten MPOB yang difailkan pada tahun lalu termasuk kenderaan pelbagai guna untuk kecekapan operasi di ladang, sistem pemisahan minyak dan formulasi untuk pertahanan daripada jangkitan patogen serta kaedah penghasilannya.

Teknologi lain adalah berkaitan pengekstrakan peptida bio-aktif daripada mesokarpa buah sawit, kaedah mengesan bahan asing dalam minyak sawit mentah, komposisi dan formulasi menghasilkan strandboard, perencatan cholinesterases oleh ekstrak buah sawit yang larut dalam air, komposisi dan kaedah perencat kakisan serta peralatan pertanian seperti syaf dan pepaku.

Komponen lain termasuk transmisi pemboleh ubah berterusan, penegang tali pinggang boleh laras untuk menyesuaikan kelajuan atau tork kenderaan, transgandar untuk menghantar kuasa, satu atau lebih roda alat pertanian.

“Sistem pemisahan air dan minyak yang dibangunkan MPOB sesuai untuk memisahkan emulsi kedua-duanya menjadi komponen minyak berkepadatan rendah serta komponen berair berkepadatan yang lebih tinggi.

“Formulasi MPOB untuk pertahanan daripada jangkitan patogen adalah bahan untuk meningkatkan pertumbuhan tanaman, yang terdiri daripada substrat dibuat berdasarkan sisa minyak sawit atau produk sampingan pengilangan sawit dan kulat daripada genus Trichoderma,” katanya.

Menurutnya, penarafan daripada MyIPO adalah bukti komitmen MPOB terhadap pembangunan teknologi dan inovasi yang berterusan, sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan negara untuk industri minyak sawit Malaysia.

“Harta intelek memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan Malaysia, terutama dalam industri sawit,” katanya.