Kuala Lumpur: KL Startup Summit (KLSS) 2021 yang bakal diadakan pada 26 hingga 28 Mac ini dijangka dapat membantu ekosistem syarikat pemula di peringkat awal bagi membina dan membesarkan perniagaan mereka.

Pengarah KLSS Inbaraj Suppiah berkata, persidangan itu akan diadakan secara maya sepenuhnya bagi langkah mencegah penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, semua rakan kongsi KLSS komited untuk bergabung tenaga dalam menyediakan sumber untuk pembangunan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.

“Kami berterima kasih kepada Microsoft Malaysia yang menunjukkan sokongan padu demi ekosistem syarikat pemula di negara ini,” katanya satu dalam kenyataan.

Bermula 26 hingga 28 Mac ini, KLSS mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Microsoft Malaysia sebagai penaja utama tahun ini.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, syarikat pemula memainkan peranan penting untuk kelangsungan ekonomi sebagai penggerak inovasi dan memulakan sesuatu yang baru.

“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada KLSS 2021, memberi ruang kepada syarikat pemula untuk meninggalkan impak yang hebat dalam pasaran dan memacu inovasi digital di rantau Asean.

“Kami juga berbesar hati dapat berganding bahu bersama pengasas lain, demi membantu mereka mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” katanya.

KLSS 2021 yang bertemakan ‘Talk Less, Do More’ bakal menarik perhatian ramai dengan pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang tiga hari berlangsung.

Persidangan itu memberi tumpuan kepada pengasas syarikat pemula untuk memberi inspirasi kepada pengasas baru dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi usahawan.

Pada masa sama, ia membantu mereka mengenali pelabur, mentor, ahli korporat dan rakan kongsi berkaitan.

Ia turut menampilkan siri bengkel ‘masterclass’ oleh pengasas syarikat pemula yang berjaya, pembangun ekosistem, pelabur, ahli korporat dan juga rakan kongsi kerajaan.

Acara KLSS 2021 akan bermula dengan Microsoft Developers Day pada 26 Mac iaitu persidangan dibawa khas oleh Microsoft Malaysia.

Program maya ini mengetengahkan ramai tokoh industri dan komuniti, pemilik perniagaan serta pembangun perisian yang akan memberi inspirasi dan berkongsi ilmu.