KHAZANAH Nasional Bhd menunggu dan akan meneliti pelan pemulihan daripada Malaysia Airlines Bhd sebelum memutuskan bantuan yang dapat diberikan untuk menyokong syarikat penerbangan nasional yang terkesan oleh Covid-19.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, krisis Covid-19 amat menyukarkan semua syarikat penerbangan termasuk yang berkaitan dengan perjalanan.

“Kami menunggu untuk mengetahui apakah pelan (Malaysia Airlines) dan kemudian akan memberikan input selain melihat apakah bantuan yang boleh diberikan untuk membantu mereka dengan pelan itu. Namun, ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Invest Malaysia Siri Virtual 1: Dasar dan Peluang sempena Invest Malaysia 2020 di sini, semalam.

Mengulas lanjut Shahril Ridza berkata, syarikat penerbangan terkesan daripada Covid-19 apabila permintaan dan kapasiti merosot daripada kebiasaan, malah kesannya berlanjutan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

“Permintaan meningkat kembali secara perlahan-lahan. Saya fikir semua menyesuaikan diri dan itu yang jadi mencabar dari segi unjuran permintaan sebenar,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pelantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai pengerusi baharu Malaysia Airlines, Shahril Ridza berkata, beliau menaruh kepercayaan kepada kepemimpinannya dalam menerajui dan membawa syarikat penerbangan itu ke tahap lebih tinggi dan mampu mengawal krisis yang sedang melanda ketika ini.