BOUSTEAD Holdings Bhd (Boustead) melantik Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif syarikat, berkuat kuasa 1 Mei 2020.

Boustead dalam kenyataan hari ini berkata, Mohamed Khaled sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor dari 2013 hingga 2018 dan di bawah kepimpinannya, negeri itu telah menyaksikan pertumbuhan yang stabil dalam ekonomi.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Johor Corporation Bhd dan kumpulan itu telah berjaya melaksanakan beberapa langkah penyusunan semula dan pemulihan sepanjang tempoh beliau bertugas.

Sebelum memegang jawatannya sebagai Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled pernah berkhidmat di pelbagai kementerian seperti Menteri Pengajian Tinggi (2008 sehingga 2013), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2004 sehingga 2008) dan Timbalan Menteri Kerja Raya (1990 hingga 2004).

Mohamed Khaled, yang memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Malaya, adalah penama pemegang saham terbesar Boustead, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pengarah Urusan Boustead, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pengalaman luas Mohamed Khaled pasti akan mengukuhkan lembaga pengarahnya, menerajui Boustead untuk meningkatkan cara menjalankan perniagaan serta prospek dalam jangka masa panjang.

“Kami yakin kumpulan berada dalam tangan individu terbaik di bawah kepimpinan yang sudah pun terbukti,” katanya.