Kuala Lumpur: Kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal meskipun kerajaan berbelanja lebih untuk menangani kesan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, rangsangan ekonomi di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bernilai RM295 bilion, termasuk suntikan fiskal sebanyak RM45 bilion membantu memacu ekonomi negara selepas mengalami penguncupan.

“Jika dilihat secara bulanan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pemulihan daripada penguncupan 28.6 peratus pada April lalu kepada 19.5 peratus pada Mei lalu seterusnya kepada 3.2 peratus pada Jun,” katanya pada persidangan Dewan Negara, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ismail Yusop mengenai status terkini kewangan negara selepas pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan kerajaan serta kesan terhadap KDNK dalam menghadapi ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Mengenai moratorium, Abd Rahim berkata, kerajaan mengkaji impak kewangan ke atas individu selepas moratorium berakhir pada 30 September ini dan mula menumpukan moratorium secara bersasar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19