Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2020 meningkat kepada RM1.02 bilion berbanding RM632.68 juta yang dicatatkan pada tahun 2019.

Bagaimanapun, pendapatan TM merosot kepada RM10.84 bilion daripada RM11.43 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

TM berkata, penurunan pendapatan itu disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah daripada semua produknya.

“Pendapatan daripada Internet terjejas kerana pelarasan harga Streamyx yang diperkenalkan mulai September, 2019 dan manakala perkhidmatan berkaitan suara dan telekomunikasi lain dipengaruhi oleh volum yang lebih rendah dan aktiviti ekonomi yang terbatas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia menjejaskan pendapatan daripada projek pelanggan di bawah segmen perusahaan,” katanya.

Sementara itu, syarikat itu berkata keuntungan bersih yang lebih tinggi itu direkodkan sebahagiannya disumbangkan oleh kadar cukai yang lebih rendah serta sumbangan daripada bahagian kumpulan daripada peningkatan prestasi anak syarikat.

Berdasarkan momentum semasa, TM berkata, ia memulakan fasa perjalanannya seterusnya iaitu Program Transformasi ‘TM Baru’ (2021-2023).

“Menerusi transformasi baharu TM, ‘Compass of Purpose, Customers, Performance and People,’ ia akan memupuk budaya prestasi baharu yang menumpukan perhatian kepada pada hasil dan impak.

“Bagi 12 bulan ke depan, TM berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) melalui tiga bidang kecemerlangan: dalam kesalinghubungan, penyelesaian, dan pengalaman pelanggan; dengan pendapatan yang lebih kukuh daripada unit perniagaan kami, pengurusan kos yang lebih baik dan produktiviti daripada operasi pengoptimuman; dan peningkatan pengalaman pelanggan, “katanya.