TREND peningkatan harga petrol dijangka akan berterusan dan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dengan mengukuhkan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Yasmin Mhd Bani berkata, trend kenaikan harga petrol itu juga berikutan peningkatan permintaan minyak yang didorong oleh pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dunia.

Katanya, selain itu, ia juga susulan kesan daripada program imunisasi Covid-19 yang dilancarkan di seluruh dunia.

“Peningkatan ini memberi kesan positif kepada ekonomi negara dengan mengukuhkan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Kedudukan fiskal Malaysia dapat diperkukuhkan dan kerajaan juga mampu untuk membiayai projek pembangunan jangka masa panjang mahupun program subsidi jangka masa pendek, jika harga minyak terus meningkat.

“Bagaimanapun, secara amnya, kenaikan harga petrol akan meningkatkan kos sara hidup rakyat kerana kenaikan ini secara langsung akan menyebabkan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan terutamanya barangan keperluan asas dan perkhidmatan awam,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, taraf hidup rakyat akan terkesan memandangkan pendapatan boleh guna dan kuasa membeli semakin menurun.

Dr Nor Yasmin berkata, golongan rentan yang terjejas akibat Covid-19 dan berpendapatan rendah juga akan terkesan, jika harga petrol semakin meningkat.

“Namun, kesan ini mungkin tidak ketara ketika pandemik dan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

“Ini kerana rakyat kurang menggunakan petrol dan mula mengamalkan sikap lebih berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian dan mengutamakan barangan keperluan berbanding kehendak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, untuk kesan jangka pendek, kerajaan disaran melaksanakan program subsidi berfokus kepada golongan rentan dan berpendapatan rendah (B40).

“Kerajaan juga disaran menggubal satu pelan jangka masa panjang sebagai contoh menggalakkan pengeluaran dan penggunaan kenderaan bersaiz kompak (yang dapat menjimatkan penggunaan petrol) dan kenderaan hibrid atau elektrik.

“Pemberian insentif kepada pengeluar kenderaan jenis ini ini juga wajar untuk menggalakkan pengeluaran dan mengurangkan penggunaan petrol yang tinggi,” katanya.