Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd (FGV) perlu bekerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan peneroka dan pekebun kecil di negara ini.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata, dasar pelan pemulihan Felda berada pada landasan yang tepat.

Katanya, ia disokong dengan strategi baharu yang dilaksanakan kerajaan khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan penstrukturan kewangan.

“Namun, pelan pemulihan ini akan sedikit terganggu dengan kegagalan Felda untuk mengambil alih sehingga 90 peratus kepentingan dalam FGV.

“Kegagalan dalam pengambilalihan FGV oleh Felda bukan pengakhiran kepada pelan pemulihan Felda. Malah, Felda sudah pun memiliki 81 peratus pegangan saham di dalamnya setakat 16 Mac lalu,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, daripada satu sudut lain, pelan pemulihan yang diluluskan kerajaaan iaitu mengeluarkan sukuk dijamin kerajaan bernilai RM9.9 bilion dilihat akan memberi manfaat dalam mengurangkan beban hutang Felda jika sukuk terbabit benar-benar dikeluarkan akhir bulan ini.

Dr Abdul Rahim berkata, beliau percaya kerajaan pastinya mempunyai jalan penyelesaian mengenai perkara ini dan perlu diingat kembali sejarah penubuhan FGV yang dahulunya dikenali sebagai Felda Global Ventures.

“Kerajaan pada ketika itu menubuhkan FGV bersama Felda yang pada mulanya dikendalikan sebagai cabang perdagangan Felda.

“Saya percaya FGV pastinya akan memberi kerjasama sewajarnya dan bersifat terbuka dalam menjayakan pelan pemulihan Felda ini.

“Pada pandangan saya, apa yang harus dilakukan selepas ini adalah kerjasama di antara Felda dan FGV dalam mencari penyelesaian terbaik bagi keseluruhan peneroka dan pekebun kecil di samping terus memastikan pembayaran dividen kepada semua pemegang saham terjamin,” katanya.

Felda merancang untuk memberi lebih tumpuan kepada aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini selepas berjaya menguasai 81 peratus saham FGV Holdings Bhd.

Kelmarin, Pengurus Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dalam kenyataan berkata, gandingan kerjasama antara Felda dan FGV mampu memberi nilai tambah kepada agensi itu khususnya dengan memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini.

Katanya, aktiviti hiliran akan memberi margin keuntungan yang lebih tinggi dan mampu mengukuhkan kedudukan kewangan Felda dengan lebih mampan.

Tempoh tawaran am mandatori tamat pada 15 Mac 2021 dan 987.3 juta (27.1 peratus) saham diterima Felda manakala 125.6 juta (3.4 peratus) saham dibeli di pasaran.

Ia bermakna ketika ini, Felda dan Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) kini menguasai 81.0 peratus saham FGV manakala Kerajaan Negeri Pahang pula memiliki lima peratus dan Kerajaan Negeri Sabah serta syarikatnya Sawit Kinabalu memiliki empat peratus saham FGV.