PELAKSANAAN Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan dan dijangka kekal kukuh menerusi aset sedia ada.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak akan menyentuh sama sekali rizab yang diuruskan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia penting untuk kelangsungan perdagangan antarabangsa.

Katanya, kerajaan juga tidak akan menggunakan sepenuhnya rizab keuntungan syarikat kerajaan seperti Petronas dan Khazanah bagi memastikan syarikat berkenaan mampu untuk terus membuat pelaburan demi menjana pekerjaan, pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara.

“Selepas Prihatin dilaksanakan, kedudukan kerajaan kekal kukuh disokong aset sedia ada.

“Mengenai kebimbangan masyarakat sama ada kerajaan mempunyai kewangan mencukupi untuk menampung pakej ini, mengambil dari rizab sedia ada atau membuat pinjaman dari pihak luar, jelas tidak timbul isu seumpama itu.

“Ini kerana, Prihatin yang membabitkan rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion meliputi peruntukan melindungi rakyat (RM128 bilion), menyokong perniagaan (RM100 bilion) dan memperkukuh ekonomi (RM2 bilion).

“Sektor swasta menyumbang sebahagian besar jumlah ini, contohnya industri perbankan melalui moratorium bayaran balik pinjaman (RM100 bilion); sumbangan Internet percuma oleh syarikat telekomunikasi (RM600 juta) dan pembiayaan diskaun elektrik kepada rakyat dan pelbagai sektor (RM1.3 bilion),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), langkah pengurangan caruman pekerja serta kemudahan pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP berpotensi menyuntik RM50 bilion ke dalam ekonomi.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga menyokong pakej rangsangan secara tidak langsung melalui pemberian jaminan kerajaan atas pinjaman sektor korporat bernilai RM50 bilion melalui Danajamin.

Malah, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

Katanya, pakej rangsangan ini juga membabitkan kerajaan memperuntukkan suntikan langsung tambahan RM25 bilion.

“Dalam keadaan krisis dilanda Covid-19, kerajaan akan membiayai perbelanjaan tambahan terbabit antara lain melalui sumbangan dividen tambahan, terutamanya daripada syarikat kerajaan seperti Petronas dan Khazanah, serta sumbangan daripada agensi dan badan berkanun.

“Di samping itu, kerajaan juga akan mengenalpasti penjimatan perbelanjaan dari bidang bukan kritikal,” katanya.