KERAJAAN sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka

panjang yang menyeluruh.

“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenalpasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara.

“Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan,” katanya dalam Perutusan Khas Ramadan di RTM, malam ini.

KERAJAAN sedang merangka Pelan Pemulihan Ekonomi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana. FOTO Saifullizan Tamadi
KERAJAAN sedang merangka Pelan Pemulihan Ekonomi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana. FOTO Saifullizan Tamadi

Katanya, walaupun PKP mungkin akan dilanjutkan lagi selepas ini, syarikat-syarikat dalam sektor-sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi, tertakluk kepada pematuhan syarat yang mementingkan keselamatan pekerja, penjarakan sosial dan kebersihan tempat bekerja.

“Pada masa ini beberapa sektor ekonomi telah dibuka. Selepas ini, kerajaan akan menimbang untuk membuka beberapa sektor dan subsektor yang lain tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat.

“Ini untuk menjamin syarikat terus berdaya saing dan pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat.

“Garis panduan serta syarat-syarat yang terperinci akan diberikan kepada pelabur dan sektor korporat untuk memulakan operasi syarikat masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan