KERAJAAN sudah meluluskan subsidi upah kepada 286,338 majikan membabitkan 2.2 juta pekerja berjumlah RM3.22 bilion setakat 31 Mei lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi tempoh dua minggu berakhir Mei lalu, kerajaan meluluskan subsidi upah berjumlah RM980 juta kepada 200,000 pekerja.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding dua minggu sebelumnya iaitu RM140 juta yang dimanfaatkan kira-kira 100,000 pekerja,” katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Prihatin di Facebooknya, hari ini.

Mengenai Program Pengekalan Pekerja (ERP), Tengku Zafrul berkata, seramai 184,000 pekerja meraih manfaat menerusi majikan dan pemilik perniagaan sehingga 31 Mei dengan jumlah peruntukan yang diluluskan berjumlah RM110 juta sebulan.

“Bagi Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setakat 31 Mei, sebanyak 26,509 permohonan diterima, dan sebanyak 5,245 permohonan diluluskan membabitkan nilai RM34.8 juta bagi caruman KWSP majikan, berbanding RM20.6 juta dua minggu lalu.

“Saya ingin menekankan bahawa KWSP sedang meneliti setiap permohonan untuk menangguh dan menstruktur semula bayaran caruman.

“Kelulusan tidak boleh diberi sewenang-wenangnya kerana dari segi undang-undang, ini adalah satu kewajipan yang tidak boleh dielakkan majikan,” katanya.