Kuala Lumpur: Kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga akan mengambil langkah bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, agenda keterangkuman di dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) meliputi langkah Penerusan Subsidi bagi meringankan kos sara hidup dan salah satu subsidi yang diteruskan ialah subsidi minyak.

“Kerajaan mendengar kebimbangan rakyat mengenai kemungkinan harga barang meningkat berikutan kenaikan harga minyak dunia dan tindakan awal telah diambil bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak kepada rakyat.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat, pada 10 Februari 2021 kerajaan telah bersetuju bahawa had harga siling produk petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras siling RM2.05 seliter dan harga runcit semasa diesel akan dihadkan pada paras siling RM2.15 seliter,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-45 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), hari ini.

Katanya, paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Menurutnya, kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

“Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

“Belanjawan 2021 telah disediakan berdasarkan unjuran harga minyak dunia pada AS$42 setong dan jangkaan harga runcit petrol dan diesel akan kekal diapungkan.

“Dengan mengambil kira harga minyak dunia semasa (AS$70) dan penetapan harga siling petrol dan diesel, dianggarkan keperluan subsidi petrol dan diesel telah meningkat kepada RM3 bilion,” katanya.