Kata kunci u-turn dan BNM antara yang tular di media sosial. – Foto Arkib

KATA kunci 'u-turn' terus tular di platform Twitter dan platform utama media sosial lain sepanjang Khamis malam berhubung kenyataan media yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) malam tadi.

Rata-rata netizen nyata kecewa dengan pengumuman terbaharu dari bank pusat itu yang disifatkan sebagai bercanggah dengan pengumuman yang disiarkan pada 25 Mac 2020 lalu.

Di akaun Facebook rasmi BNM, netizen menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berhubung perkembangan terkini yang mengandungi pemberitahuan jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa sahaja perubahan terhadap jumlah pembayaran, yang meliputi jumlah kadar faedah atau keuntungan biasa yang terakru sepanjang tempoh moratorium.

 

Sumber Facebook bnm.official

BACA: Pusingan U, kini bank kenakan faedah moratorium ke atas sewa beli

Bagi pemilik akaun Boon Heng, tindakan mengeluarkan kenyataan media kali ini dianggap telah mengelirukan rakyat Malaysia.

Senada dengan Boon Heng, Keong Ng pula mahu BNM mengeluarkan kenyataan yang memudahkan pemahaman rakyat Malaysia.

"Tiada benda percuma dalam dunia ini. Bayar tepat pada masanya atau bayar lebih," katanya menerusi ruangan komen.

Antara lain, Hirmi Hanif pula menganggap penangguhan yang diberikan sebelum ini hanya harapan palsu.

"Orang minta tangguh sebab pendapatan terjejas, mana nak datang pendapatan untuk bayar sekaligus?" soal Hirmi.

Jika dilihat di Twitter, hampir lebih 10,000 pengguna menggunakan kata kunci 'u-turn' sebagai memberi reaksi terhadap kenyataan media oleh pihak BNM.

Ada antara mereka menganggap perubahan dasar ini menyebabkan orang ramai mula keliru dan menyuarakan ketidakpuasan hati di media sosial.

Antara lain, ada antara netizen yang mula menganggap bahawa 'Mak Cik Kiah tertipu'.

Malah, di laman Change.org, satu petisyen dalam talian telah dibuat dan ia mendapat hampir 1,000 tandatangan hanya dalam tempoh 20 minit.

"Sila ikut arahan Perdana Menteri" antara komen paling banyak dikongsi dalam petisyen berkenaan.