MBSB Bank Bhd (MBSB) akan mengadakan Kempen Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman (RAC) di beberapa cawangannya bagi membantu pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan selepas tempoh moratorium selama enam bulan berakhir pada 30 September ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pelanggan boleh mengadakan perbincangan secara bersemuka mengenai pilihan bantuan pembayaran yang ada termasuk fleksibiliti pembayaran untuk kumpulan sasaran dan penjadualan semula serta penstrukturan semula akaun.

“Kami menggalakkan pelanggan datang ke cawangan kami dan berbincang dengan wakil bank kerana kami akui hakikatnya sebahagian daripada mereka bimbang dengan keadaan kewangan.

“Dengan membuka cawangan pada dua hujung minggu ini, kami berharap dapat menangani kebimbangan dan isu mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, cawangan bank di Butterworth, Melaka Raya, Johor Bahru, Kuantan dan pusat khidmat pelanggan Menara MBSB di Kuala Lumpur akan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 5 petang pada 26 dan 27 September 2020, serta 3 dan 4 Oktober 2020.

Individu dan pelanggan PKS diminta untuk mengunjungi cawangan bank bagi sebarang pertanyaan mengenai pilihan pembiayaan yang sesuai.

Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dikuatkuasakan untuk mengurangkan risiko Covid-19, katanya.