Kuala Lumpur: Platform rebat tunai, Shopback Malaysia mencatatkan trafik beli-belah lebih tinggi iaitu peningkatan lebih lima kali ganda semasa kempen jualan dalam talian 9.9 berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengurus Besar Negaranya, Eddy Han berkata, trafik beli-belah meningkat sehingga lima kali ganda semasa kempen 9.9 dan tiga kategori pembelian yang tertinggi adalah barangan rumah, kesihatan dan kecantikan dan elektronik.

Katanya, PKP bukan sahaja meluaskan populasi pembeli dalam talian, malah menggalakkan lebih ramai mereka yang gemar membeli barangan lebih murah, yang kebiasaannya mencari barangan promosi untuk tujuan penjimatan dan cenderung meningkatkan pembelian semasa hari jualan.

“Tidak mengejutkan, nisbah trafik mudah alih berbanding trafik beli-belah adalah kira-kira 95:5,” katanya.

Tambahnya, lima peniaga atau e-platform paling popular yang digunakan semasa hari jualan ialah Shopee, Taobao, Zalora, Watsons dan Booking.com.

Shopee meningkatkan tawaran penghantaran percuma dengan merendahkan perbelanjaan minimum dan menawarkan baucar, manakala Lazada memperkenalkan pelbagai tawaran selepas menambah baik pengalaman membeli-belah kepada pengguna menerusi LazMall 2.0.

Pengguna ShopBack Malaysia akan menerima lebih RM200,000 rebat tunai bagi pembelian 9.9.

Ketika ini, lebih 500 e-peniaga bekerjasama dengan ShopBack di Malaysia untuk menawarkan ganjaran rebat tunai kepada pengguna sehingga lebih 30 peratus apabila membuat pembelian menerusi ShopBack.