JUMLAH ketibaan pelancong antarabangsa merosot antara 60 dan 80 peratus tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

Ia adalah penurunan ketara berbanding jangkaan sebelum ini yang menganggarkan penurunan antara 20 dan 30 peratus.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) di Madrid semalam, untuk suku pertama tahun ini, jumlah ketibaan pelancong merosot 22 peratus dengan Asia dan Eropah antara yang terjejas teruk.

Setiausaha Agung UNWTO, Zurab Pololikashvili berkata, dunia kini berdepan krisis ekonomi dan kesihatan yang belum pernah berlaku.

“Sektor pelancongan antara yang terjejas paling teruk dengan kehilangan jutaan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan data mengikut destinasi, penurunan 22 peratus dilaporkan untuk tiga bulan pertama tahun ini.

Ketibaan pelancong pada Mac lalu merosot 57 peratus berikutan pelaksanaan perintah berkurung di beberapa negara selain larangan perjalanan ke semua negara dan penutupan lapangan terbang serta pintu sempadan.

“Ia membawa kepada ‘kehilangan’ 67 juta ketibaan pelancong yang dianggarkan bernilai AS$80 bilion (RM346 bilion),” katanya.

Menurutnya, Asia dan Pasifik menunjukkan impak ketara dengan penurunan 33 juta ketibaan pelancong.

“Krisis ini boleh dianggap terburuk dalam industri pelancongan sejak 1950 dan impaknya akan dirasai di seluruh dunia.

“Namun, Asia dan Pasifik dijangka pulih lebih awal,” katanya.

Berdasarkan data yang diperoleh, jumlah kemerosotan ketibaan pelancong antarabangsa adalah antara 850 juta dan 1 bilion, manakala kerugian dalam pendapatan eksport pelancongan adalah antara AS$910 bilion (RM4 trilion) dan AS$1.2 trilion (RM5.2 trilion)

Selain itu, jumlah pekerjaan yang terjejas adalah antara 100 juta hingga 120 juta di seluruh dunia.

Dalam pada itu, menurutnya, pakar berpendapat proses pemulihan dijangka berlaku pada penghujung 2020 atau awal 2021.

“Berdasarkan krisis sebelum ini, pelancongan santai pulih lebih awal khsusunya membabitkan perjalanan melawat keluarga berbanding perjalanan perniagaan,” katanya.