AFFIN Bank Bhd (ABB) membuat resolusi mengelaskan semula dividen akhir dicadangkan bagi tahun kewangan 2019 kepada dividen interim untuk memastikan pemegang sahamnya mendapat pembayaran tepat pada masanya walaupun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia juga menyemak semula kuantum kepada 5 sen sesaham daripada 7 sen sebelumnya bagi mengekalkan modal dan kecairan bank.

Pada 27 Februari lalu, Lembaga Pengarah ABB mencadangkan dividen akhir sebanyak 7 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham yang akan ditentukan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) yang akan datang.

Bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, terdapat ketidakpastian dalam menentukan tarikh AGM, jadi pengelasan semula itu akan memudahkan pembayaran dividen yang tepat pada waktunya.

“Lembaga Pengarah, selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa, mengambil pendirian berhemat dan memutuskan untuk menyemak semula kuantum dividen daripada 7 sen kepada 5 sen, kepada dividen boleh bayar sebanyak RM99.30 juta berhubung dengan tahun kewangan 2019,” kata ABB.

Dividen yang dicadangkan adalah sebanyak 7 sen sesaham, pembayaran dividen akan mencecah sebanyak RM139.02 juta.

Walaupun dikurangkan kepada 5 sen sesaham, kadar dividen kali ini adalah sama dengan dividen akhir tahun sebelum ini.

Menurut ABB, Lembaga Pengarah mahu mengekalkan tahap pulangan asas kepada pemegang sahamnya dengan dividen yang baru diklasifikasikan sambil mengekalkan modal dan kecairan.

Katanya, Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) akan digunakan untuk dividen interim baharu ini, dan pemegang saham boleh memilih untuk melabur semula keseluruhan dividen yang diterima ke dalam saham baharu.

DRP ini juga akan memberi pilihan kepada pemegang saham untuk melabur semula secara keseluruhan atau sebahagian daripada dividen interim dalam bentuk saham baharu berdasarkan harga terbitan yang akan diberi diskaun harga pasaran saham ABB pada satu tarikh yang akan diumumkan.

Pemegang saham melalui AGM akan datang dijadual untuk meluluskan dividen akhir yang diisytihar pada 27 Februari 2020, DRP bagi dividen akhir dan terbitan 96.5 juta saham baharu di bawah DRP.