CPROFILES Solutions (CProfiles) komited membantu usahawan di negara ini mendigitalkan perniagaan mereka dengan menawarkan kelas pengenalan Pendigitalisasi Perniagaan dalam talian (online) secara percuma.

   Pengasasnya, Farah Najiha Hassim berkata, CProfiles menjadi syarikat pertama di Malaysia yang menawarkan program seumpama itu.

   Katanya, kempen yang diberi nama CP-Digital ini dilancarkan bagi membuka peluang pemilik perniagaan melaksanakan pendigitalisasi bagi mengembangkan perniagaan mereka.

   “Bagi merealisasikan saranan kerajaan, CProfiles menghasilkan Modul Pendigitalisasi Perniagaan (MPP) sebagai panduan untuk mendigitalkan operasi perniagaan usahawan.

  “Ini bertujuan supaya transformasi pendigitalan dapat dilaksanakan dengan lancar.

 “Sejak penularan Covid-19, kempen ini berjaya mendigitalikan lebih 500 perniagaan terdiri daripada usahawan individu, syarikat swasta, persatuan dan badan korporat daripada pelbagai industri dan perkhidmatan,” katanya kepada Bisnes Metro.

   Menurutnya, modul yang disediakan ini akan menerangkan dengan jelas langkah yang boleh diambil untuk mendigitalkan perniagaan dan disasarkan kepada pemilik perniagaan dan golongan eksekutif syarikat.

   Sementara itu, Pengarah CProfiles, Dr Khalil Zulkifflee berkata, syarikatnya menawarkan khidmat nasihat secara online bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

  “Ini bermakna CProfiles mampu untuk menjelajah ke seluruh Malaysia dan membantu pemilik perniagaan di seluruh negara yang memerlukan bantuan dan khidmat nasihat secara percuma ini,” katanya.

   “Terdapat banyak cara untuk mendigitalkan perniagaan dan tidak semestinya membabitkan jumlah kos yang tinggi.

   “Malah kaedah dan pendekatan yang dilakukan oleh CProfiles dalam memastikan proses pendigitalisasi perniagaan adalah lebih efektif, praktikal dan mudah dilaksanakan,” katanya.