LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyasarkan agihan keuntungan lebih stabil pada masa hadapan selaras dengan matlamat penubuhannya untuk mengurus wang umat Islam bagi mengerjakan ibadah haji.

Ia termasuk meneruskan usaha mengimbangi semula portfolio pelaburan khususnya dalam menggantikan aset tidak berdaya saing dengan aset yang boleh memberi pulangan lebih baik, tanpa mengabaikan matlamat asal penubuhan TH untuk membantu jemaah menunaikan ibadat haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, kadar pulangan lebih lestari adalah sangat penting kerana bakal jemaah haji Malaysia perlu menunggu giliran menunaikan haji disebabkan kuota haji yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Ini amanah kami yang paling besar. Bagaimana kami perlu memastikan kelangsungan TH lebih 100 tahun lagi untuk jemaah melengkapkan agama.

“Ini bermakna keselamatan pelaburan amat penting dan TH tidak boleh mengambil risiko terlalu tinggi, terutama dengan kesan penyusutan ekonomi negara dan dunia disebabkan pandemik Covid-19 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, TH akan terus bekerja keras mencari peluang pelaburan untuk mencapai pulangan terbaik walaupun berdepan keadaan pasaran pelaburan yang mencabar.

“Keuntungan yang dicapai oleh TH didorong oleh prestasi dan kedudukan kewangan lebih baik berbanding tahun sebelumnya, selain langkah pengurusan kos yang berhemah.

“Agihan keuntungan tahun lalu ini juga adalah lebih kompetitif jika dibandingkan dengan pulangan daripada akaun simpanan tetap di perbankan Islam,” katanya yang membandingkan purata kadar deposit runcit perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan ialah 2.56 peratus.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengumumkan kadar sebanyak 3.10 selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Agihan untuk tahun lalu membabitkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019.

“Alhamdulillah, TH merekodkan prestasi kewangan belum diaudit pada tahun lalu, lebih baik berbanding 2019.

“Keuntungan bersih selepas zakat turut mencatatkan peningkatan sebanyak 22 peratus kepada RM2.23 bilion,” katanya.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, prestasi keseluruhan pendapatan TH bagi tahun kewangan 2020 disokong oleh beberapa aktiviti pelaburan dalam aset pendapatan tetap yang telah menjana pendapatan sebanyak RM1.90 bilion.

Bagi pelaburan saham, sebanyak RM430 juta pendapatan berjaya dicatatkan manakala pelaburan hartanah sebanyak RM352 juta dan instrumen pasaran wang Islam menyumbang RM318 juta.

Katanya, TH juga terus komited melindungi kepentingan pendeposit dengan lebih separuh dari peruntukan asetnya (51 peratus) dilaburkan dalam sukuk yang menawarkan pendapatan tetap.

“Ini selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, pendapatan berulang, selamat serta mempunyai daya ketahanan risiko,” katanya.

Menurutnya, kedudukan kewangan TH kekal stabil pada 31 Disember 2020 dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM3.68 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM81.85 bilion dan jumlah liabiliti RM78.17 bilion.

TH turut memperuntukkan pembayaran zakat beranggaran RM106 juta bagi tahun lalu berbanding RM86 juta pada 2019.

“Justeru, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, TH menjangkakan operasi persekitaran lebih mencabar pada tahun ini di mana pelabur terus mencari pulangan yang tinggi walaupun ekonomi masih lemah.

“Namun langkah pelbagai negara, termasuk Malaysia, untuk memastikan rakyat mendapat vaksin Covid-19 dijangka dapat membantu meneruskan usaha pemulihan ekonomi.

“Kami juga akan meneruskan usaha untuk mengimbangi semula portfolio pelaburan khususnya menggantikan aset yang tidak berdaya saing dengan aset yang boleh memberi pulangan lebih baik,” katanya.

“Ini termasuk memberi penekanan yang lebih kepada pelaburan luar negara dan pelaburan berlandaskan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang terus menjadi perhatian banyak pelabur hari ini tanpa mengabaikan matlamat asal penubuhan TH untuk membantu jemaah haji menunaikan ibadat haji serta memastikan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.