PENURUNAN drastik harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) di pasaran Amerika Syarikat (AS) ke paras negatif bukan menandakan ‘dunia akan berakhir’, sebaliknya hanya membabitkan kontrak hadapan Mei saja yang matang akibat kekurangan tempat menyimpan, kata penganalisis.

Kejatuhan harga minyak mentah AS di bawah paras sifar itu, kata mereka, tidak mencerminkan kedudukan pasaran minyak dunia secara keseluruhan apabila kontrak hadapan WTI bagi Jun dan kontrak penanda aras minyak mentah global iaitu Brent didagangkan positif.

Namun begitu, situasi itu menjejaskan sentimen pelaburan global termasuk penanda aras minyak mentah global seperti Brent serta pergerakan ringgit, kata penganalisis.

Malaysia sebagai negara pengeksport minyak mentah yang mengeksport berdasarkan harga Brent sebagai penanda aras turut terkena tempias susulan pendapatan negara bergantung kepada hasil minyak mentah dengan diunjurkan 20.7 peratus tahun ini.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Howie Lee menjelaskan kejatuhan harga kontrak Mei itu didorong sebahagian besarnya oleh kekangan tempat simpanan.

Permintaan yang lemah akibat penularan Covid-19 menyaksikan kapasiti penyimpanan kini penuh.

“Kontrak hadapan Mei tamat tempoh semalam (21 April), bermakna pelabur yang membuat pembelian kontrak terpaksa membayar dan menerima penghantaran komoditi itu.

“Penyimpanan di AS menghampiri kapasiti penuh kerana inventori capai paras puncak berikutan kekurangan permintaan disebabkan Covid-19. Jika gagal mendapat ruang simpanan minyak, pembelian adalah tidak bermakna,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Lee berkata, selagi permintaan lemah dan pembeli minyak tidak dapat mencari ruang penyimpanan mencukupi, harga kekal dalam tekanan.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat, peningkatan risiko kejatuhan harga minyak mentah AS itu kepada pasaran aset lain dijangka terhad memandangkan harga negatif itu berlaku kepada kontrak Mei dan ia membabitkan jumlah dagangan rendah.

Sementara itu, Penganalisis Oilprice.com, Nick Cunningham berkata, kejatuhan harga WTI mencerminkan pedagang meninggalkan kontrak Mei dan beralih kepada kontrak hadapan Jun.

Beliau berkata, dagangan kontrak Mei kurang relevan memandangkan tumpuan kini lebih kepada kontrak Jun didagangkan pada paras AS$20 setong pada Isnin.

“Dengan kontrak hadapan tamat, ia akan bersatu dengan realiti pasaran fizikal. Harga menjadi negatif (kontrak Mei) kerana pasaran fizikal di Oklahoma dan Texas ada lebihan.

“Tiada orang mahukan penghantaran WTI secara fizikal untuk Mei dan pilihan tempat simpanan yang kurang di beberapa tempat, peniaga menjual pegangan mereka, menjual kontrak dengan potongan harga rendah,” katanya.