KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka susut kepada kadar tahunan 2.2 peratus bagi suku pertama 2020 (Q1 2020) daripada 3.6 peratus pada Q4 2019, demikian menurut unjuran IHS Markit.

Menurut firma penyelidikan itu, sama seperti pertumbuhan ekonomi Jepun, pertumbuhan Q1 2020 bagi Malaysia juga diunjur lebih buruk berbanding krisis kewangan global.

IHS Markit menjangkakan KDNK Q1 2020 Jepun mencatat penyusutan 2.1 peratus bagi tahun ke tahun.

Dalam nota Prebiu Ekonomi Minggu Akan Datang yang disiarkan semalam, IHS Markit berkata, minggu berkenaan akan menyaksikan pengumuman beberapa angka jualan runcit dan pengeluaran perindustrian yang dapat memberi petunjuk penting sejauh mana keadaan ekonomi pada suku kedua.

“Kami menjangkakan berita kurang menggembirakan berikutan hasil tinjauan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) April 2020 yang menunjukkan penguncupan ekonomi global pada kadar tidak dijangkakan dengan pembuatan merosot pada kadar yang tidak pernah dilihat sejak 11 tahun lalu,” katanya.

Merujuk prestasi ekonomi Amerika Syarikat (AS) bagi Q1 2020, IHS Markit menjangkakan KDNK negara maju itu merekodkan penguncupan hampir dua digit bagi tempoh berkenaan.

Ini berikutan data tinjauannya yang menunjukkan aliran penyusutan pada awal separuh kedua ketika langkah-langkah bagi membendung Covid-19 terus dipertingkatkan.

“Langkah sekatan pergerakan, penutupan sementara perniagaan tidak penting dan penjarakan sosial terbukti menjejaskan aktiviti perniagaan serta permintaannya,” katanya.

Selain itu, China juga akan mengumumkan data pengeluaran industri dan penjualan runcit selain beberapa petunjuk lain termasuk pelaburan minggu depan.

IHS Markit menyifatkan angka-angka berkenaan dapat memaparkan petunjuk penting mengenai tempoh untuk pengeluaran dan perbelanjaan pengguna kembali meningkat.

Minggu depan juga akan menyaksikan pengumuman beberapa data utama di serata dunia termasuk data KDNK Q1 2020 Malaysia yang dijadualkan pada 13 Mei, data awal Q1 Jepun (17 Mei), manakala data pengeluar perindustrian dan jualan runcit AS bagi April serta data pengeluaran perindustrian, jualan runcit dan pengangguran China bagi April yang diumumkan pada 15 Mei.