TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di ASEAN-5 berkembang pada 7.8 peratus dan Malaysia pada sembilan peratus pada 2021.

Selain Malaysia, Asean-5 meliputi Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang masing-masing akan berkembang kepada 8.2 peratus, 6.1 peratus, 7.6 peratus dan tujuh peratus.

Untuk 2020, organisasi berpusat di Washington itu menjangkakan ekonomi Malaysia merosot 1.7 peratus, kerana KDNK Asean-5 susut 0.6 peratus.

Unjuran IMF 2021 untuk Malaysia lebih tinggi daripada jangkaan pertumbuhan oleh Fitch Ratings sebanyak 5.8 peratus.

Pertumbuhan global dijangka pulih kepada 5.8 peratus pada 2021 mencerminkan normalisasi aktiviti ekonomi dari tahap yang sangat rendah, kata IMF dalam laporan dikeluarkan, semalam.

Ia mengunjurkan pertumbuhan global -3 peratus untuk 2020, yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pandemik Covid-19.

“Kumpulan ekonomi maju dijangkakan berkembang pada 4.5 peratus, manakala pertumbuhan untuk negara berkembang dan kelompok ekonomi membangun dijangka berkembang pada 6.6 peratus,” katanya.

Sebagai perbandingan, pada 2010 pertumbuhan global setelah krisis kewangan global pulih kepada 5.4 peratus daripada -0.1 peratus pada 2009.

Bagaimanapun, menurut IMF pemulihan pada 2021 bergantung sama ada pandemik itu hilang pada separuh kedua 2020, membolehkan usaha pencegahan beransur-ansur dikurangkan dan memulihkan keyakinan pengguna dan pelabur.

Tindakan dasar ekonomi signifikan dilakukan di seluruh dunia yang menumpukan perhatian terhadap memenuhi syarat penjagaan kesihatan awam, sementara mengehadkan kesannya kepada aktiviti ekonomi dan sistem kewangan.

Pemulihan itu dianggap tindakan dasar berkesan mencegah kemuflisan firma, kehilangan pekerjaan berlanjutan dan tekanan kewangan seluruh sistem.

Meskipun demikian, tahap KDNK pada akhir 2021 di pasaran negara berkembang dan negara membangun diunjurkan kekal berada pada tahap sebelum pandemik Covid-19.

Melihat dari segi skala kemerosotan ekonomi, wujudnya ketidaktentuan mengenai pemulihan kelak.

“Beberapa aspek menyokong pemulihan itu mungkin tidak berlaku, dan hasil pertumbuhan global yang lebih buruk mungkin terjadi misalnya, kemerosotan lebih teruk pada 2020 dan pemulihan sedikit pada 2021 bergantung keadaan pandemik itu dan tahap ekonomi berkaitan yang terjejas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19