KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2020 dijangka sekitar +0.4 peratus dan -2.0 peratus, tetapi lebih cenderung untuk berlegar pada -1.1 peratus.

AmBank Research dalam notanya berkata, berdasarkan prestasi ekonomi pada suku pertama 2020, ekonomi sudah pun mencatatkan prestasi lemah daripada sektor tertentu sejak 2019.

Malaysia melaporkan pertumbuhan yang paling lemah sejak suku ketiga 2009, dengan pertumbuhan KDNK pada suku pertama akan datang bakal merekodkan +0.7 peratus dari tahun ke tahun, berbeza daripada jangkaan pasaran dan bank itu, masing-masing meramalkan catatan -1.0 peratus dan -2.8 peratus sebelum ini.

“Kesan pandemik virus, ditambah dengan kejatuhan harga minyak, hanya memburukkan lagi beberapa sektor yang sudah lemah sambil menjejaskan bidang aktiviti ekonomi yang baharu seperti perkhidmatan,” katanya.

Kemelesetan global kini dilihat tidak sama dengan era 1930-an memandangkan ekonomi dunia semasa disokong oleh rangsangan kewangan dan langkah fiskal.

Tambahan pula, kelonggaran sekatan yang dibuat secara berperingkat sewajarnya memberikan beberapa sokongan kepada eksport.

Sementara itu, Public Investment Bank berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2020 (2Q20) akan dipengaruhi oleh pandemik Covid-19 berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih panjang.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi mungkin pulih secara beransur-ansur pada suku ketiga susulan pembukaan semula ekonomi pada awal Mei, sebelum dirancakkan lagi pada suku keempat.

“Jika tiada halangan seperti peningkatan semula kes Covid-19, ekonomi boleh mencapai potensinya pada suku keempat walaupun mungkin tidak dalam kapasiti penuh disebabkan keperluan untuk melaksanakan penjarakan sosial.

“Keadaan ini mungkin akan berterusan sehingga wujud vaksin Covid-19 yang mungkin akan dihasilkan pada hujung tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Katanya, prospek pertumbuhan sepatutnya bertambah baik pada 2021 jika pandemik berjaya dikekang.