Tengku Zafrul berkata, eksport negara juga berkembang 8.8 peratus pada bulan sama, peningkatan dari -25.5 peratus yang dicatat pada bulan Mei. – Gambar Facebook

PUTRAJAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar -3.2 peratus dalam bulan Jun 2020 adalah petunjuk jelas pemulihan ekonomi sedang berlaku dalam negara sejajar dengan pembukaan ekonomi pada bulan Mei.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, eksport negara juga berkembang 8.8 peratus pada bulan sama, peningkatan dari -25.5 peratus yang dicatat pada bulan Mei.

Menurutnya, Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 26.2 peratus dari bulan ke bulan pada Jun 2020 iaitu pada 0.4 peratus tahun ke tahun berbanding Mei, iaitu -21.6 peratus.

“Nilai jualan runcit dan borong meningkat sebanyak 21.8 peratus dari bulan ke bulan pada bulan Jun berbanding bulan lepas.

“Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor Pembuatan di Malaysia telah meningkat dari nilai terendah pada tahun kepada 50.0 pada bulan Jun dan Julai.

“Semua angka tersebut menunjukkan sektor pembuatan telah beralih dari tempoh penguncupan akibat pelaksanaan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan laporan terkini pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Rabu.

Laporan itu merupakan laporan ke-17 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari tahun ke tahun pada suku kedua 2020 menguncup sebanyak -17.1 peratus.

“Perlu ditekankan bahawa penguncupan KDNK untuk suku tahun ini disebabkan oleh fasa Perintah Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan untuk mengekang penyebaran COVID-19 di Malaysia.

“Berdasarkan analisa pertumbuhan KDNK dari bulan ke bulan pula, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penambahbaikan pertumbuhan jelas dapat dilihat dari bulan April (-28.6 peratus), kepada bulan Mei (-19.5 peratus) dan bulan Jun (-3.2 peratus),” ujarnya.