KERAJAAN yakin Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terus menjadi antara penyumbang utama pendapatan negara pada tahun ini selepas mengutip cukai keseluruhan berjumlah RM38.6 bilion tahun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun menyedari negara masih berhadapan usaha pemulihan ekonomi ekoran pandemik Covid-19, pihaknya meletak sasaran kutipan JKDM bagi 2021 berjumlah RM40.7 bilion.

“Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang (tahun ini) selepas KDNK tahun lalu menguncup kepada 5.6 peratus bagi 2021 unjuran KDNK dijangka meningkat antara 6.5 hingga 7.5 peratus dan ia dijangka dapat membantu kutipan hasil JKDM.

“Pandemik Covid-19 memang akan beri kesan kerana kutipan cukai mempunyai kaitan dengan ekonomi negara, tahun lalu kerajaan sudah berasa kesan berdasarkan kutipan hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan JKDM sendiri,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Bangunan Blok Utama Pejabat Kastam Kedah yang siap dibina pada Ogos tahun lalu, membabitkan kos RM47 juta.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kastam, Abdul Latif Abd Kadir dan Pengarah Kastam Kedah, Abdul Rahman Abdul Aziz.