PENINGKATAN ekonomi digital membentuk semula cara perniagaan dijalankan dengan tata laku pengguna berubah. Ini berlaku apabila terdapat lebih banyak pilihan dalam persekitaran persaingan yang tidak akan dapat dihentikan dalam kalangan perniagaan ketika berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ternyata senario itu akan memberi perniagaan pilihan yang terhad melainkan terus mengkaji semula strategi perniagaan mereka.

“Dengan atau tanpa Covid-19, landskap perniagaan sentiasa mencabar. Pandemik Covid-19 boleh dilihat sebagai pemangkin kepada perniagaan, besar atau kecil untuk melihat semula peranan mereka. Mungkin Covid-19 adalah rahmat yang terselindung,” katanya.

Semuanya bermula di Wuhan City, Hubei, China pada akhir Disember 2019. Ketika itu apa yang difikirkan oleh pelbagai pihak ialah gangguan kepada rantaian bekalan industri.

“Persepsi agak naif walaupun tidak sepenuhnya tak berasas kerana China adalah ekonomi terbesar di dunia pada masa ini,” kata Mohd Afzanizam.

China adalah terbesar berdasarkan standard Tabung Kewangan Antarabangsa dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke atas pariti kuasa beli berjumlah AS$27.3 trilion pada 2019 mengatasi Amerika Syarikat (AS) sebanyak AS$21.4 trilion.

“Penguncupan KDNK suku pertama China baru-baru ini juga tidak pernah didengari dengan aktiviti ekonomi merosot dengan angka yang besar sebanyak 6.8 peratus.

“Ekonomi AS turut mencatatkan penguncupan sebanyak 4.8 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama 2020,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, sebagai ekonomi terbuka, data KDNK Malaysia dijangka mengecewakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan di seluruh dunia bertindak sewajarnya dengan sebahagian besar langkah tertumpu untuk meringankan beban kewangan golongan peniaga kecil dan isi rumah.

Bank pusat turut meneliti semula kaedah pelonggaran kuantitatif untuk memastikan sistem kewangan sesuai dan mencukupi.

“Dalam hal ini, kerajaan Malaysia menjalankan tugas mereka dan krisis kesihatan pada masa ini memberi cabaran yang besar kepada semua. Pilihannya bukan mudah dan keputusan perlu dibuat segera,” katanya.

Beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka menyebabkan berlakunya pengangguran yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kadar pengangguran meningkat sehingga 3.9 peratus pada Mac tahun ini, malah yang tertinggi sejak 2009 ketika negara dilanda krisis subprima AS pada tahun 2008 dan 2009.

“Negara lain turut menunjukkan peningkatan kadar pengangguran dan terkini adalah AS apabila kadar pengangguran mereka melonjak kepada 14.7 peratus setakat April iaitu paras tertinggi sejak 2010.

“Keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi adalah sama antara hidup atau mati. Kadar kematian adalah tinggi,” katanya.

Walau apa jua keadaan, beliau berkata setiap kesulitan yang berlaku, sudah tentu ada kebaikannya.

Kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai senario pekerjaan ketika PKP baru-baru ini menunjukkan 42.6 peratus daripada jumlah responden golongan bekerja dari rumah (WFH).

“Apa yang dianggap tidak mungkin berlaku sudah terjadi.

“Siapa yang pernah terfikir bahawa WFH boleh dilaksanakan dalam masa beberapa hari? Ini juga menunjukkan perniagaan menyesuaikan dengan persekitaran mereka dan adanya teknologi, mesyuarat dapat dijalankan secara dalam talian serta keputusan penting boleh dicapai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19