BANK Negara Malaysia (BNM) menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat ketara pada suku kedua tahun ini berikutan langkah drastik pengurangan kos daripada syarikat dan majikan.

Malah, bank pusat itu juga menjangkakan kadar penggangguran bagi keseluruhan tahun ini meningkat lebih tinggi berbanding unjuran asal dibuat sebelum ini iaitu empat peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini dijangka menyaksikan perubahan positif dengan lebih banyak pengambilan semula kerja berikutan aktiviti ekonomi mula dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Langkah ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kadar pengangguran secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.

“Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dan permintaan yang lebih lemah, ia (peningkatan pengangguran) adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan kita akan mengalami peningkatan kadar pengangguran yang berkemungkinan lebih tinggi daripada ramalan sebelum ini pada empat peratus.

“Apa yang saya ingin tekankan bahawa ia sesuatu yang sudah dijangka dan tertakluk kepada kenaikan aktiviti ekonomi ketika PKP dilonggarkan.

“Maka, dalam beberapa tempoh terutamanya pada April dan Mei, anda mungkin akan melihat kadar penggangguran yang lebih tinggi disebabkan penutupan perniagaan.

“Pada separuh kedua tahun ini, pasaran buruh akan mula pulih secara beransur-ansur dan akan ada pengambilan serta pewujudan peluang kerja baharu dalam sektor tertentu,” katanya pada sidang media maya ketika mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2020 di sini, semalam.

Katanya, sektor yang paling terjejas ialah aktiviti berkaitan pelancongan dan pengeluaran berorientasikan eksport.

“Kedua-dua sektor ini mewakili 45 peratus daripada kadar pengangguran ketika ini. Namun, selepas PKP ditarik semula, kita akan menyaksikan penambahbaikan dalam pengambilan kerja di pelbagai sektor ekonomi,” katanya.