UMW Group mencatatkan jualan 21,657 kenderaan pada Februari 2021 atau naik 4.4 peratus berbanding bulan sebelumnya berikutan jualan yang menggalakkan melalui UMW Toyota Motor dan syarikat bersekutu, Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, UMW Toyota Motor mencatatkan jualan 5,074 unit pada Februari 2021, 32 peratus lebih tinggi daripada 3,845 unit yang didaftarkan pada Januari 2021.

“Peningkatan jualan kenderaan hasil daripada permintaan yang tinggi bagi Vios dan Yaris yang dikemaskini dan dilancarkan pada 17 Disember 2020 serta Fortuner dan Innova yang juga dikemaskini dan dilancarkan pada 2 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Perodua mencatatkan jualan 16,583 unit pada Februari 2021, rendah sedikit berbanding 16,894 unit yang dijual pada Januari 2021 berikutan bilangan hari bekerja yang lebih rendah pada bulan itu termasuk cuti perayaan.

“Perodua memperkenalkan SUV Ativa serba baharu pada 3 Mac lalu untuk memperluas barisan produknya, dengan lebih 6,000 tempahan dicatatkan sehingga 5 Mac,” katanya.