PROTON Holdings Berhad (Proton) mencatatkan peningkatan jualan 20.4 peratus pada suku pertama tahun ini dengan jualan 21,757 unit berbanding tempoh sama tahun lalu serta pegangan pasaran meningkat daripada 17.4 kepada 20.1 peratus daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, model Saga menjadi penyumbang utama 8,824 unit (peningkatan 36 peratus) diikuti Iriz 2,009 (602 peratus), Persona 5,677 unit (243 peratus) dan Exora 1,091 unit (17 peratus).

“Bagi model X70 meskipun ada penurunan 48 peratus dengan jualan 4,145 unit, ia masih kekal kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di Malaysia untuk tiga bulan pertama 2020,” katanya.

Menurutnya, untuk Mac, Proton menjual 3,277 unit kereta namun ada penurunan 41 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 dan 67 peratus pada Februari 2020.

Meskipun prestasi jualan kukuh pada Januari dan Februari serta jauh lebih baik berbanding 2019, momentum jualan Proton sedikit perlahan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka menjejaskan jualan tahun ini.

“Namun keselamatan negara dan rakyat Malaysia serta pekerja Proton harus diutamakan dan kami menyokong sepenuhnya arahan mengekang penularan Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini Proton meneruskan operasi dengan kebenaran pihak berwajib serta jumlah kakitangan minimum bagi operasi di kilang khususnya menyelenggara fasiliti selain lebih ramai kakitangan diminta bekerja dari rumah.

“Syarikat menggunakan masa ini merangka strategi seterusnya dan percaya kami bersedia menyahut cabaran dan mengatasi krisis ini untuk matlamat jangka panjang syarikat,” katanya.