INISIATIF Shop Malaysia Online Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) membantu peruncit dan peniaga tempatan menjana jualan lebih daripada RM400 juta melalui pelbagai platform e-dagang.

Bagi kempen E-Dagang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKSM) Penjana pula, ia memberi manfaat kepada lebih 90,000 PKSM baharu dan sedia ada melalui latihan, subsidi penjual serta sokongan jualan melalui 20 platform e-dagang yang terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, MDEC komited meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam digital supaya mereka bersedia dengan pengetahuan yang diperlukan bagi memperkasakan perniagaan mereka melalui pendigitalan.

“Melalui kempen e-dagang PKSM Penjana, kami berusaha untuk menyediakan mereka dengan kaedah pengemudian dalam persekitaran perniagaan baharu ini termasuk peluang pengembangan dalam pasaran domestik dan secara beransur-ansur ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif e-dagang itu dilancarkan oleh MDEC di bawah Penjana dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM140 juta.

Kira-kira 20 platform e-dagang menyertai kempen E-Dagang PKSM Penjana.

Mengenai Shop Malaysia Online, sejumlah 22 rakan kongsi e-dagang mengambil bahagian dengan hampir lima juta pengguna mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Katanya, pihaknya meminta orang ramai untuk mengutamakan perbelanjaan mereka kepada penjual dalam talian tempatan melalui inisiatif Shop Malaysia Online kerana ia menawarkan tawaran hebat serta baucar diskaun yang boleh didapati di platform e-dagang yang mengambil bahagian.

“Dengan menyertai Shop Malaysia Online, pengguna sebenarnya sedang menjalankan peranan mereka bagi menyokong perniagaan tempatan dalam menangani cabaran Covid-19 serta membantu pemulihan ekonomi,” katanya.