PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjual 52,920 unit kenderaan setakat Mei tahun ini dengan penguasaan pasaran sekitar 41 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, krisis kesihatan yang dicetuskan Covid-19 memberi kesan ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan.

“Perodua menjual 7,886 kenderaan pada Mei lalu, menyaksikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 52,920 unit.

“Berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) setakat Mei yang dianggarkan 129,401 unit, Perodua menguasai 41 peratus bahagian pasaran.

“Kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kembali beroperasi di seluruh negara, kami berjaya mendekati angka jualan Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan pada Mac sebelum PKP berkuat kuasa 18 Mac.

Menyentuh mengenai jualan Mei, Zainal Abidin berkata, daripada 7,886 unit dijual, 2,612 unit disumbangkan model Myvi manakala Axia (2,028 unit), Bezza (1,820 unit), Aruz (950 unit) dan Alza (476 unit).

“Dalam era penjarakan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan penting. Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah.

“Pemandu e-hailing mula menggunakan kenderaan mereka menghantar barang di samping mengangkut penumpang. Jadi, kenderaan Perodua sesuai untuk tujuan itu kerana cirinya yang kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu.

“Kami akan memastikan semua keperluan serta kehendak permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera. Kami yakin dapat memenuhi permintaan anda dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sepanjang Jun, kempen Sambutan Bermakna Perodua menawarkan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih, sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara dan patuhi semua langkah penjagaan yang ditetapkan. Penasihat jualan kami yang sah sedia membantu anda untuk mencari model Perodua yang paling sesuai untuk anda,” katanya.