Kuala Lumpur: Jualan dua digit 9.9 yang diadakan tahun ini menyaksikan jumlah trafik lebih tinggi berbanding tahun lalu walaupun industri bimbang mengenai sentimen pengguna yang masih terkesan akibat kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.

Namun, keadaan sedikit berbeza apabila Shopback Malaysia mencatatkan angka lebih tinggi dalam tempoh dua jam pertama untuk jualan tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengurus Besar ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata, tahun lalu, ShopBack mencatatkan empat kali ganda jumlah trafik berbanding hari biasa pada jualan 9.9 tahun lalu dan yakin dapat merekodkan angka lebih tinggi tahun ini.

“Walaupun masih dibelenggu kebimbangan dan ketidaktentuan pasaran berikutan pandemik Covid-19, jumlah trafik yang dicatatkan dalam tempoh dua jam pertama adalah mengejutkan.

“Kami yakin dapat merekodkan angka lebih tinggi sepanjang hari ini (9.9),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tiga kategori produk paling popular adalah kediaman, kesihatan dan kecantikan serta elektronik.

Lima platform paling banyak dikunjungi dari Shopback adalah Shopee, Taobao, Zalora, Watsons dan Booking.com.

Menurutnya, pelanggan bukan saja membeli-belah dalam talian sebaliknya mencari cara untuk mendapatkan penjimatan berganda.

“Ia secara tidak langsung menjadikan ShopBack pilihan utama untuk pelanggan mendapatkan produk yang diperlukan pada harga rendah dan dalam masa menikmati penjimatan lebih tinggi,” katanya.