PEMBEKAL penyelesaian e-pembayaran, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNG), kini menawarkan kit pemasangan sendiri Radio Frequency Identification (RFID) melalui Lazada dan Shopee pada harga RM35.

TNG RFID adalah sistem pembayaran elektronik yang membolehkan pengguna melepasi tol lebuh raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Syahrunizam Samsudin berkata, pembangunan kit TNG RFID itu diasaskan kepada matlamat pemasangan sendiri (DIY) bagi memberikan keselamatan lebih baik dan kemudahan untuk semua pengguna jalan.

“Kit ini disertakan dengan panduan pemasangan bagi pengguna untuk mengaktifkan produk berkenaan mengikut keselesaan mereka.

“Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami menawarkan kit DIY ini untuk memperkenalkan lebih banyak kemudahan memandangkan kami faham orang ramai mahu bergerak lebih selamat dalam keselesaan kereta mereka,” katanya.

Menurutnya, ketika dunia dan Malaysia memasuki norma baharu, penggunaan TNG RFID adalah kritikal untuk membina gaya hidup mudah tanpa sentuhan.

“Penggunaan sistem ini bagi memastikan perjalanan lebih cepat, licin, dan selamat untuk semua pengguna jalan raya,” katanya.

Proses pemasangan TNG RFID memerlukan pengguna mengimbas kod respons cepat (QR) pada kit pemasangan bagi akses kepada panduan video maya atau mengikuti ilustrasi pemasangan yang ada dalam pakej itu.