Kuala Lumpur: Bermula dengan menjual jersi sempena Piala Dunia dan kejohanan bola sepak Eropah (Euro), dua sahabat kini boleh berbangga selepas jenama ‘Kaki Jersi’ yang diasaskan bersama pada 2014, berjaya menaja dua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kaki Jersi Sdn Bhd Mohammad Harfat Rusman, menyifatkan kejayaan menjalinkan kerjasama bersama pasukan Liga Super Perak FC dan wakil Liga Premier Negeri Sembilan FC pada musim ini, sebagai permulaan terbaik dalam usaha mengangkat martabat jenama tempatan.

Jelasnya kepercayaan diberikan dua pasukan itu, diharap dapat membuka mata semua pihak tentang kewujudkan jenama tempatan, selain menangkis tanggapan negatif masyarakat terhadap mutu kualiti produk itu sekali gus memberi nafas baharu dalam ekosistem sukan di negara.

“Halangan (syarikat tempatan menembusi pasaran) memang banyak, kerana kita dibesarkan dengan jenama antarabangsa dan disebabkan kecenderungan kita melihat jenama dahulu berbanding kualiti serta harga.

“Kita mahu berusaha sehingga Kaki Jersi dikenali satu Malaysia, dan kalau boleh nak melihat jenama ini digunakan oleh pasukan kebangsaan. Itu impian dan cita-cita besar kami,” katanya dalam temu bual ekslusif bersama Bernama, hari ini.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Operasi Kaki Jersi Sdn Bhd Nor Akmar Ahmad berkata, pihaknya tidak hanya menyasarkan pasukan bola sepak, sebaliknya turut terbuka untuk menaja sukan lain dan juga kontinjen negara bertanding di luar negara.

Menurutnya dua negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand, merupakan antara contoh terbaik negara yang memberikan kepercayaan kepada jenama tempatan, untuk menaja jersi serta pakaian pasukan kebangsaan.

“Menjadi penaja kepada mana-mana pasukan negara menjadi antara impian besar kami, dan insya-Allah dengan kemajuan dicapai setakat 2020, tidak mustahil Kaki Jersi mampu berbuat demikian pada masa hadapan,” katanya yang pernah berkhidmat dalam sektor awam sebelum mengambil keputusan memberikan tumpuan kepada perniagaan.

PEKERJA bahagian percetakan memotong reka bentuk jersi untuk proses ‘heat press.’ FOTO Bernama
PEKERJA bahagian percetakan memotong reka bentuk jersi untuk proses ‘heat press.’ FOTO Bernama

Kaki Jersi yang ditubuhkan Mohammad Harfat bersama Nor Akmar Ahmad kira-kira tujuh tahun lalu, mula beroperasi di sebuah bilik kecil di rumah keluarganya di Kampung Pandan, sebelum berpindah ke rumah kedai sebelum berjaya memiliki kilang sendiri pada 2019.

Jenama itu juga menjadikan platform liga bola sepak sosial sebagai batu loncatan, untuk membina empayar jenama pakaian sukan tersendiri, selain turut kerjasama dengan beberapa akademi bola sepak dan sekolah secara berterusan, bagi mengukuhkan lagi prestij jenama tersebut.

“Kita mulakan Kaki Jersi ini di sebuah bilik kecil di rumah ayah saya dengan sebuah ‘heat press machine’ serta sebuah mesin pencetak. Kemudian ia berkembang dari tahun ke tahun tanpa pengiklanan berbayar, hanya mulut ke mulut dan bantuan di media sosial,” katanya.

Mohammad Harfat menyifatkan hubungan terjalin bersama pihak komuniti sebagai asas penting dalam kemajuan Kaki Jersi, dan berharap jenama itu mampu mengekalkan mutu kualiti serta keupayaan pengeluaraan, bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

Selain menaja Perak FC dan Negeri Sembilan FC, Kaki Jersi turut menjadi antara penaja rasmi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), serta turut menaja pasukan bertanding dalam liga itu.